Rektor UIAM, Dr Osman Bakar Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1448H

Rektor UIAM, Dr Osman Bakar Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1448H

hafizithnin@mediaprima.com.my

Putrajaya: Meskipun ilmu kini boleh diperoleh di pelbagai saluran, institusi pengajian tinggi masih kekal sebagai tempat terbaik untuk melahirkan generasi muda yang bijak dan mempunyai kecerdasan untuk menuntut ilmu.

Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1448H, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar yang juga Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata kolej, maktab dan universiti masih menjadi institusi terbaik untuk pelajar menimba ilmu.

“Ilmu itu banyak. Ilmu itu boleh didapati di mana-mana. Tapi soalnya sekarang, banyak ilmu tetapi ilmu yang tidak bersatu. Ilmu yang berbalah antara satu sama lain.

“Jadi mesej Islam ialah mesej at-Tauhid iaitu kesatuan ilmu pengetahuan,” katanya ketika mengulas sentimen universiti bukan lagi tunjang utama untuk mendapatkan pendidikan di sini, hari ini.

Beliau berkata, cabaran utama umat Islam ketika ini bukanlah kekurangan ilmu, sebaliknya ketiadaan kesatuan dalam ilmu pengetahuan.

“Epistemologi tauhid yang ditekankan di UIAM melihat ilmu agama tidak bercanggah dengan ilmu sains dan teknologi, malah semua cabang ilmu mempunyai keharmonian menurut perspektif Islam.

“Semua cabang ilmu itu sah. Kalau dilihat daripada segi Islam, ada keharmonian antara semua bidang ilmu pengetahuan,” katanya.

Menurut beliau, budaya ilmu yang perlu diwujudkan di universiti ialah budaya yang berteraskan kesatuan tanpa percanggahan antara iman, takwa, agama, ilmu dan teknologi.

Jelasnya lagi, masyarakat tidak perlu terlalu ghairah dengan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) sehingga mengabaikan aspek etika dan akhlak.

“Teknologi yang dihasilkan dengan tidak berpandukan etika dan moral akan menyebabkan nanti bukan kita menggunakan teknologi itu sebagai alat yang berguna, sebagai alat yang baik tetapi kita boleh disesatkan oleh teknologi itu.

“Jadi nasihat saya, ayuh mari kita pelajari AI, tapi kita mestilah jadikan AI itu sebagai alat berpandukan nilai-nilai kemanusiaan kita, nilai-nilai etika dan akhlak kita. Baru selamat. Kalau tidak nanti kita masyarakat, terutamanya generasi pelajar akan kehilangan arah, kehilangan panduan kerana meletakkan AI itu sebagai lebih bijak daripada kita,” katanya.

Terdahulu Osman dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1448H atas sumbangannya dalam pelbagai bidang falsafah dan pemikiran Islam serta pendidikan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Osman turut pernah menerima ASEAN Distinguished Scholar Award pada 2023, Anugerah Antarabangsa Farabi Ke-13 pada 2022 dan Anugerah Ilmu Kemanusiaan Global pada 2019.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top