JOHOR BAHRU: Dua pasangan suami yang dipercayai terlibat memukul seorang pembantu rumah warga Indonesia ditahan reman selama empat hari selepas dua lagi bekas pembantu rumah suspek tampil membuat laporan polis.
Keempat-empat suspek yang berusia antara 30 hingga 34 tahun itu ditahan semula pada pukul 1.30 pagi tadi bagi selepas kedua-dua bekas pembantu rumah berkenaan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dan IPD Johor Bahru Utara, semalam.
Peguam mewakili Kedutaan Indonesia, Mohd. Daud Ismail berkata, beliau hadir ke Mahkamah Johor Bahru di sini sebagai peguam pemerhati untuk proses permohonan reman terhadap semua suspek.
Beliau berkata, Majistret Chai Ing Hien membenarkan tempoh tahanan reman ke atas semua suspek selama empat hari berkuat kuasa hari ini sehingga Sabtu depan.
“Tempoh reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Ahad lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad dilaporkan berkata, dua pasangan suami isteri itu ditahan reman sehari bagi membantu siasatan susulan penularan video memaparkan seorang wanita warganegara Indonesia dipukul beberapa individu tempatan.
Beliau dilaporkan berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku di sebuah kediaman di Taman Johor, Skudai di sini pada Julai tahun lalu namun baharu ditularkan salah seorang mangsa, baru-baru ini.
Susulan itu, kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 354 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport.-UTUSAN




