am@hmetro.com.my
Seremban: Polis Negeri Sembilan mengesahkan sudah menerima dua laporan berkaitan penggunaan gelaran Institusi Undang ke atas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, baru-baru ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, setakat ini dua individu dipanggil untuk diambil keterangan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Setakat ini ada dua laporan polis dibuat di Negeri Sembilan mengenai isu penggunaan jawatan ‘Tok Undang’ dalam majlis baru-baru ini.
“Kedua-dua pengadu sudah diambil keterangan lanjut manakala individu yang dirasakan perlu dipanggil akan dibuat selepas ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 505b Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum ini Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Ahmad Shahir Mohd Shah memohon maaf kepada Undang Yang Empat susulan tindakannya memetik gelaran Institusi Undang ketika Majlis Pelancaran Jentera Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Jumaat lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




