am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tentera Darat Malaysia (TDM) menghentikan serta-merta pelaksanaan Latihan Membaling Grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), susulan kejadian letupan yang berlaku di Kem Hobart, Gurun, dan mengorbankan dua anggotanya semalam.
Latihan berkenaan dihentikan bagi memberi ruang sepenuhnya kepada siasatan.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman, berkata latihan berkenaan dihentikan serta-merta untuk semua cabang perkhidmatan dalam TDM.
“Siasatan ini akan dikendalikan oleh pegawai bertauliah dari Lembaga Siasatan termasuk Unit Bahagian Letupan dan Bom. Ia dijangka mengambil masa antara dua minggu hingga sebulan.
“Sebarang keputusan akan dibuat berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak berkenaan demi menjamin keselamatan warga TDM dan keseluruhan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara amnya,” katanya kepada BH hari ini.
Azhan berkata, pada masa ini pihaknya belum dapat memberikan perincian lanjut mengenai punca insiden letupan berkenaan.
“Pada masa ini, punca kejadian sedang di kenal pasti oleh Lembaga Siasatan yang telah ditubuhkan. Setelah itu tindakan susulan akan diambil berdasarkan hasil penemuan siasatan itu,” katanya.
Beliau berkata TDM menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Koperal Norazmi Abu Bakar daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD) dan Siti Khadijah Sungip daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (1 RAJD), yang terkorban dalam kejadian berkenaan.
“Bantuan sepenuhnya diberikan kepada keluarga termasuklah pampasan yang layak diterima,” katanya.
Perincian berhubung bantuan bagaimanapun tidak dapat didedahkan kerana ia maklumat sulit.
Kedua-dua anggota berkenaan yang cedera parah dalam kejadian pada 10.57 pagi itu, disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
© New Straits Times Press (M) Bhd




