norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Kerinduan terhadap ibu tercinta, Noraini Sikin, 63 dan keluarga menyebabkan penyanyi, Fiq Halim, 45, akhirnya sanggup membuat keputusan balik menetap di Sandakan, Sabah sejak beberapa tahun lalu.
Fiq atau nama sebenar Mohammad Firdaus Abdul Halim berkata dia pulang ke negeri kelahirannya itu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19 tamat pada 2022.
“Kini, saya sering berulang-alik dari Sabah ke Kuala Lumpur sahaja apabila ada tawaran menyanyi atau urusan rakaman lagu. Kalau tidak ada apa-apa hal di sini, saya menetap di Sabah untuk menjaga emak yang sudah berusia.
“Bapa saya sudah lama meninggal dunia dan hanya emak yang masih ada sekarang. Saya pun belum berkahwin dan anak sulung dalam keluarga daripada lima beradik. Malah, di Sabah pun saya aktif menyanyi.
“Alhamdulillah, saya ada banyak juga ‘show’ menyanyi di Sabah. Kiranya bolehlah kalau nak hidup sebab dalam sebulan pun saya akan terima tiga ‘show’ dan bayaran berpatutan. Nak kata saya dapat bayaran mahal pun, tak boleh juga.
“Apapun, syukur kepada Allah rezeki menyanyi itu sentiasa ada. Sebab, saya memang menyanyi sepenuh masa di Sabah dan tidak buat kerja lain pun kecuali terima tawaran menyanyi sahaja,” kata Fiq ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu dan muzik video lagu Gila nyanyiannya secara trio bersama Aepul Roza dan Aweera di Astana Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini.
Ditanya juga cadangannya berpindah menetap semula di ibu kota, Fiq memaklumkan buat masa sekarang dia belum membuat sebarang keputusan dan lebih selesa hanya berulang-alik atas urusan kerja.
“Lagi pun, tiada masalah untuk saya kalau hendak selalu ulang-alik dari Sabah ke Kuala Lumpur sebab barang-barang saya masih ada lagi dalam bilik dekat rumah sewa yang saya tinggal dulu bersama kawan di sini.
“Saya masih lagi tidak membawa balik semuanya ke Sabah. Jadi, adalah lebih baik rasanya saya duduk dengan emak dan jaga dia di Sabah itu sebab hati saya pun tenang dan tidak risau sangat kalau keluar bekerja.
“Ini saya anggap jasa dan bakti kepada emak tersayang selagi dia masih ada. Allah sudah bagi saya peluang ini (untuk jaga emak) dan Alhamdulillah. Cuma, mohon doakan karier seni saya sentiasa okay dan rezeki tidak putus,” ujarnya.
Fiq mula aktif menceburi karier nyanyian pada 2006 selepas dinobatkan juara dalam program realiti, Mentor musim kedua (Mentor 2) di TV3 sebagai protege yang mendapat bimbingan daripada mentor, Datuk Amy Search.
Dikenali dengan genre muzik rock, Fiq pernah menghasilkan dua album studio iaitu Rocker Era Baru pada 2008 dan Diagnostik (2010), selain tampil dengan satu album kompilasi berjudul Fiq & Nieyl pada 2007.
Dalam karier nyanyiannya selama 20 tahun ini, Fiq juga pernah dikenali dengan lagu Bukti, Diagnosa, Balistik Cinta, Satu Peluang Lagi, Yang Benar, Waktunya dan Tiga Malam Tanpa Bintang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




