Dakwaan wujud patung Hindu dalam masjid cetus kontroversi di India

Dakwaan wujud patung Hindu dalam masjid cetus kontroversi di India
Dakwaan wujud patung Hindu dalam masjid cetus kontroversi di India

Masjid Jama di negeri Gujarat. – Foto YeniSafak.

NEW DELHI — Sebuah lagi masjid bersejarah, Masjid Jama di negeri Gujarat, India menjadi tumpuan kontroversi selepas sekumpulan Hindu mendakwa terdapat patung dan artifak keagamaan di kompleks agama itu.

Dakwaan itu membabitkan Masjid Jama di Bharuch, sebuah monumen bersejarah yang dilindungi oleh Jabatan Arkeologi India (ASI) dan telah digunakan sebagai tempat ibadah umat Islam sejak berabad-abad lamanya.

Kumpulan dikenali sebagai Shri Chakradhar Swami Janmasthal National Heritage Protection Committee mendakwa, terdapat patung dan tinggalan yang mempunyai kepentingan agama Hindu di kawasan masjid tersebut sekali gus menuntut agar ia dikenal pasti serta dipelihara.

Bagaimanapun, beberapa pertubuhan Islam mempersoalkan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai sebahagian daripada trend yang semakin meningkat dalam mencabar status masjid-masjid bersejarah di India.

Mereka berpendapat, tuduhan seumpama itu pernah digunakan dalam beberapa kes sebelum ini untuk mengemukakan tuntutan bahawa tapak masjid dibina di atas struktur keagamaan Hindu yang lebih lama, sekali gus membuka ruang kepada pertikaian pemilikan dan penggunaan tapak berkenaan.

Perkembangan itu mengingatkan kepada pertikaian panjang membabitkan Masjid Babri di Ayodhya, yang akhirnya dirobohkan pada 1992 susulan dakwaan ia dibina di atas tapak kelahiran dewa Hindu Rama.

Mahkamah Agung India kemudiannya membenarkan pembinaan sebuah kuil Hindu di lokasi tersebut selepas proses perundangan yang berlarutan selama beberapa dekad.

Kontroversi terbaharu ini dijangka menambah kebimbangan dalam kalangan masyarakat Islam mengenai masa depan beberapa tapak warisan Islam di India yang semakin kerap menjadi subjek tuntutan dan pertikaian berkaitan sejarah serta agama.- Agensi

Scroll to Top