New Jersey: Ketua jurulatih Senegal, Pape Thiaw menegaskan tuntutan agama sentiasa mengatasi bola sepak apabila menyatakan pasukannya tetap menunaikan solat Jumaat meskipun terdapat kebimbangan mengenai faktor keselamatan akibat tiupan angin kencang.
Thiaw berkata, pemain dan pegawai pasukan tidak pernah mempertimbangkan untuk meninggalkan kewajipan itu walaupun berdepan jadual padat sepanjang kempen Piala Dunia.
“Anda takut kepada angin, tetapi kami takut kepada Allah yang mencipta angin,” katanya ketika mengulas kebimbangan berhubung keadaan cuaca di New Jersey.
Menurutnya, solat Jumaat mempunyai waktu yang ditetapkan dan tidak boleh diketepikan hanya kerana komitmen sukan.
Beliau malah menegaskan Senegal tetap akan meninggalkan segala urusan berkaitan bola sepak untuk menunaikan solat sekiranya berdepan perlawanan paling penting sekali pun.
“Walaupun kami bermain dalam final Piala Dunia, kami tetap akan pergi menunaikan solat Jumaat kerana waktunya sudah ditetapkan.
“Adakah ada sesuatu yang lebih penting daripada solat?” katanya.
Kenyataan itu mendapat perhatian ramai apabila Thiaw secara terbuka menegaskan keutamaan nilai dan pegangan agama dalam pasukan kebangsaan Senegal.
Senegal yang terkenal sebagai antara pasukan Afrika yang memiliki semangat kekeluargaan dan pegangan agama yang kuat sebelum ini sering menonjolkan aspek disiplin serta nilai kerohanian dalam pengurusan pasukan.
Bagi Thiaw, kejayaan di atas padang tetap penting, namun ia tidak boleh mengatasi kewajipan yang dianggap lebih besar dalam kehidupan seseorang Muslim.
Kenyataan tegas itu turut mencerminkan identiti skuad Senegal yang sentiasa mengekalkan keseimbangan antara tuntutan profesional sebagai atlet dan tanggungjawab agama sepanjang menyertai kejohanan antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




