Ronaldo ketuai Portugal hadapi DR Congo

Ronaldo ketuai Portugal hadapi DR Congo

Houston: Cristiano Ronaldo akan mengetuai cabaran Portugal dalam aksi pembukaan Kumpulan K menentang Republik Demokratik Congo (DR Congo) di Houston, awal pagi ini.

Pada usia 41 tahun, Ronaldo membuat penampilan keenam di Piala Dunia selepas debut pertamanya pada edisi 2006, sekali gus menyamai rekod milik bintang Argentina, Lionel Messi.

Portugal bagaimanapun turun tanpa tonggak pertahanan Ruben Dias yang diketepikan akibat kecederaan, dengan Tomas Araujo dan Renato Veiga diberi tanggungjawab mengemudi benteng pertahanan.

Turut mencuri perhatian ialah Bernardo Silva yang kekal dalam kesebelasan utama pada hari perpindahannya ke Real Madrid disahkan kelab gergasi Sepanyol itu.

Portugal dijangka mempertaruhkan kekuatan jentera tengah yang diketuai Vitinha, Joao Neves dan Bruno Fernandes untuk membekalkan peluang kepada Ronaldo serta Pedro Neto di bahagian serangan.

Bagi DR Congo, Yoane Wissa akan bergandingan dengan penyerang berpengalaman Cedric Bakambu dalam usaha mencipta kejutan ke atas pasukan pilihan kejohanan itu.

Pasukan dari Afrika itu kembali beraksi di pentas Piala Dunia buat kali pertama selepas 52 tahun, manakala Portugal tampil dalam tujuh edisi berturut turut dan keseluruhannya kali kesembilan di kejohanan terbesar dunia itu.

Kesebelasan utama

Portugal: Diogo Costa, Joao Cancelo, Tomas Araujo, Renato Veiga, Nuno Mendes, Vitinha, Joao Neves, Bruno Fernandes, Pedro Neto, Bernardo Silva, Cristiano Ronaldo.

DR Congo: Lionel Mpasi, Aaron Wan Bissaka, Steve Kapuadi, Axel Tuanzebe, Arthur Masuaku, Chancel Mbemba, Edo Kayembe, Samuel Moutoussamy, Ngal’ayel Mukau, Cedric Bakambu, Yoane Wissa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top