BERSATU di ambang kehancuran, Muhyiddin rugikan PN – Wan Fayhsal

BERSATU di ambang kehancuran, Muhyiddin rugikan PN – Wan Fayhsal

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal meluahkan kekecewaan terhadap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwanya gagal mengurus konflik dalaman parti secara rasional sehingga meletakkan BERSATU di ambang kehancuran.

Beliau berkata, tindakan Muhyiddin yang terus mempertahankan pendiriannya dalam kemelut yang melanda Perikatan Nasional (PN) ketika ini bukan sahaja merugikan BERSATU, malah turut menjejaskan gabungan pembangkang itu.

“Saya hormati Tan Sri Muhyiddin sebagai seorang yang membimbing saya dalam politik sebelum ini.

“Tetapi apa yang beliau buat kini adalah sesuatu yang benar-benar merugikan BERSATU dan juga PN.

“Beliau masih lagi berkeras, bertegang urat dengan PAS dengan kami semua, seolah-olah beliau masih lagi Pengerusi PN,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Ahli Parlimen Pembangkang di sini, hari ini.

Mengulas kenyataan Muhyiddin, BERSATU kekal bertanding menggunakan logo PN, Wan Fayhsal berkata, hujah yang dikemukakan bekas Perdana Menteri itu tidak mempunyai asas yang kukuh.

“Apa yang beliau cuba hujahkan semalam dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU itu sebenarnya bukan sesuatu yang ada asas pun.

“Perkara teknikal saya tidak mahu kupas kerana ia berada dalam bidang kuasa Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (MTPN). Biarlah pimpinan dalam MTPN membincangkannya,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan pertemuan Ahli Parlimen PN yang dihadiri wakil PAS, Parti Wawasan Negara dan Ahli Parlimen yang menyokong gabungan itu hanya membincangkan persiapan menghadapi sidang Dewan Rakyat minggu depan serta perkembangan semasa.

Menurutnya, isu pelantikan Ketua Pembangkang turut disentuh, namun tiada sebarang keputusan dibuat kerana perkara itu bukan dalam bidang kuasa Ahli Parlimen.

“Boleh dikatakan antara perkara yang dibincangkan ialah isu Ketua Pembangkang dan juga persiapan kami untuk sidang minggu depan.

“Tetapi tiada keputusan dibuat kerana ini bukan bidang Ahli Parlimen. Ini bukan MTPN, jadi saya tidak boleh komen banyak,” katanya.

Wan Fayhsal berkata, beliau kecewa dengan pendekatan Muhyiddin dalam menangani konflik yang berlaku ketika ini.

“Saya kecewa dengan Tan Sri Muhyiddin kerana beliau, bagi saya, sudah tidak mempunyai pertimbangan yang rasional dalam menguruskan konflik ini.

“Sebenarnya BERSATU sedang di ambang kehancuran. Itu pemerhatian saya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top