Oslo: Aksi Erling Haaland dalam kemenangan 4-1 Norway ke atas Iraq pada Piala Dunia 2026 bukan sahaja mencuri tumpuan di atas padang, malah turut mencetuskan fenomena luar biasa di tanah airnya apabila institusi seismologi Norway mengesan gegaran di Bergen.
Institut seismologi NORSAR mengesahkan mereka merekodkan isyarat seismik jelas sejurus Haaland menjaringkan dua gol dalam aksi Kumpulan I di Boston.
Gol pertama Haaland hadir pada minit ke-29, yang juga adalah jaringan pertama Norway di Piala Dunia sejak 1998, sebelum penyerang itu menggandakan kelebihan sebelum tamat separuh masa pertama.
Menurut NORSAR, gelombang kegembiraan penyokong di Bergen ketika menonton perlawanan pada waktu tengah malam berkemungkinan besar menjadi punca kepada bacaan seismik terbabit.
“Pada malam Rabu, stesen seismik di Bergen merekodkan isyarat jelas berhampiran stesen dari perlawanan Piala Dunia antara Norway dan Iraq. Turun naik terbesar bertepatan dengan gol Erling Braut Haaland yang mencetuskan sorakan kuat penyokong,” kata kenyataan institut itu.
Mereka menambah bahawa kesan paling jelas direkodkan ketika jaringan Haaland, apabila ribuan penyokong melompat dan bersorak serentak di seluruh Bergen.
“Kesan ini berkemungkinan berpunca daripada sorakan dan pergerakan penyokong Norway yang menonton perlawanan itu,” jelas kenyataan terbabit.
Institut itu menjelaskan bahawa apabila ramai orang bertindak balas secara serentak terhadap detik sukan besar, pergerakan itu mampu menghasilkan getaran yang cukup kuat untuk dikesan oleh peralatan sensitif seismologi.
Walaupun Norway tidak benar-benar mencetuskan gempa bumi, mereka menyifatkan ia sebagai bukti keterujaan luar biasa rakyat terhadap kejayaan pasukan kebangsaan di pentas dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




