Czech buru talian hayat, Afrika Selatan juga terdesak

Czech buru talian hayat, Afrika Selatan juga terdesak

Atlanta: Republik Czech dan Afrika Selatan bakal berdepan aksi hidup mati dalam saingan Kumpulan A Piala Dunia 2026 apabila kedua dua pasukan memburu kemenangan pertama yang mampu menghidupkan peluang ke pusingan 32 terbaik.

Kapten Republik Czech, Ladislav Krejci mengakui perlawanan itu akan menentukan nasib kedua dua pasukan selepas masing masing tewas dalam aksi pembukaan.

Afrika Selatan tumbang 0-2 kepada tuan rumah bersama, Mexico, manakala Republik Czech tewas 1-2 kepada Korea Selatan walaupun Krejci terlebih dahulu meletakkan pasukannya di depan.

Krejci berkata, satu kemenangan mungkin sudah memadai untuk membuka laluan ke pusingan seterusnya memandangkan lapan pasukan tangga ketiga terbaik daripada 12 kumpulan turut layak ke peringkat kalah mati.

“Kami sedar betapa pentingnya perlawanan ini. Ia sangat penting.

“Kami akan lakukan yang terbaik untuk menang dan kami tahu keputusan perlawanan ini akan memberi kesan besar kepada baki kejohanan,” katanya.

Republik Czech kembali beraksi di pentas Piala Dunia selepas 20 tahun, namun tidak lagi memiliki barisan pemain bertaraf bintang seperti generasi terdahulu yang dibarisi Petr Cech, Pavel Nedved dan Tomas Rosicky.

Jurulatih Miroslav Koubek berharap penampilan di Piala Dunia kali ini mampu menjadi pemangkin kebangkitan bola sepak negaranya.

“Kami mahu kesebelasan utama kami bermain di lima liga terbaik Eropah, tetapi itu bukan realiti ketika ini.

“Saya percaya Piala Dunia masih memberi peluang kepada kami. Walaupun kalah perlawanan pertama, kami masih mempunyai peluang baik untuk mengubah keadaan.

“Jika kami berjaya di Piala Dunia, ia pasti menjadi inspirasi dan motivasi kepada pemain muda kerana pemain kami adalah contoh kepada mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top