razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Keputusan meninggalkan kerjaya tetap di sebuah hospital, bukan sesuatu yang mudah namun bagi Cham Ali, 45, ia menjadi titik perubahan terbesar dalam hidupnya demi mencari ketenangan dan masa berkualiti bersama keluarga.
Cham berkata, sebelum ini dia menetap di Cameron Highlands, Pahang selama lapan tahun bersama keluarga sebelum nekad berhijrah tinggal di kawasan hutan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
“Idea untuk berhijrah mula timbul sekitar 2018 ketika saya bekerja sebagai petugas kesihatan yang terikat dengan sistem kerja atas panggilan sehingga menjejaskan masa bersama keluarga.
“Ketika itu staf kurang dan saya kerap bekerja on-call. Balik rumah pun tak menentu, kadang-kadang tengah malam atau awal pagi dan anak-anak sudah tidur,” katanya.
Cham berkata, keputusan untuk berhijrah itu sudah dirancang secara berperingkat termasuk memastikan komitmen kewangan diselesaikan terlebih dahulu.
“Kemuncak kepada keputusan itu berlaku ketika pandemik COVID-19 apabila dia semakin yakin untuk meninggalkan kerjaya tetap dan memulakan kehidupan baharu di kampung.
“Alhamdulillah pada 2021 saya bebas hutang dan buat permohonan bersara pilihan sebelum berpindah sepenuhnya ke kampung,” katanya.
Menurutnya, antara persediaan penting dilakukan ialah merancang tempat tinggal serta sumber pendapatan selain mencari kawasan tanah yang sesuai untuk didiami.
“Tanah yang saya beli asalnya kawasan hutan, tetapi sesuai untuk bercucuk tanam dan mempunyai akses jalan, jadi kami ambil keputusan untuk bina rumah sendiri di situ.
“Kediaman dibina secara berperingkat mengikut kemampuan dengan keluasan sederhana iaitu 13 x 30 kaki sahaja,” katanya.
Selain itu, dia turut mengusahakan tanaman sayur-sayuran kampung, herba dan pokok buah-buahan sebagai permulaan selain menternak bagi menampung keperluan harian.
Cham berkata, meskipun pada awalnya ada pihak yang mempersoalkan keputusannya meninggalkan keselesaan bandar, kini mereka melihat kehidupannya lebih stabil dan tenang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




