Spekulasi terjawab, MB Johor kekal bertanding kerusi DUN

Spekulasi terjawab, MB Johor kekal bertanding kerusi DUN

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dijangka akan kekal bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Ia sekali gus menamatkan khabar angin yang mengatakan ADUN Machap itu akan beralih ke kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Onn Hafiz berkata, beliau tidak mempunyai hasrat untuk bertanding di peringkat Parlimen kerana merasakan khidmatnya masih diperlukan di negeri ini.

“Jika diberikan perkenan, saya amat berbesar hati untuk terus berkhidmat kepada Bangsa Johor. Saya merasakan Johor adalah tempat saya dan saya mahu terus berkhidmat di sini. Jadi, itulah keutamaan saya.”, katanya pada sesi temu bual bersama media di kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana di sini, tadi,.

Onn Hafiz berkata, tumpuan utamanya adalah memastikan agenda pembangunan dan kemajuan negeri diteruskan bagi mencapai misi dan visi Johor Maju 2030.

Katanya, masih banyak perancangan dan inisiatif yang perlu dilaksanakan meskipun pelbagai kejayaan telah dicapai sepanjang lebih empat tahun pentadbirannya.

“Setiap hari bagi saya adalah hari untuk bekerja dan berkhidmat kepada rakyat. Kita sudah mempunyai momentum pembangunan dan sekiranya rakyat memberi mandat sekali lagi, kita akan meneruskan usaha tersebut.

“Visi Johor Maju 2030 masih berada di pertengahan perjalanan. Banyak lagi yang perlu dilakukan demi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai seluruh Bangsa Johor,” katanya.

Ketika PRN ke-15 pada 2022, Onn Hafiz berjaya memenangi kerusi DUN Machap dengan majoriti 6,543 undi.

Beliau yang juga cicit kepada Pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar kemudiannya dilantik menjadi Menteri Besar Johor ke-19 selepas BN berjaya membentuk kerajaan negeri dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top