Sultan Pahang tegur pemimpin ubah pendirian ikut musim, tabur janji lupa tanggungjawab

Sultan Pahang tegur pemimpin ubah pendirian ikut musim, tabur janji lupa tanggungjawab

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan kebimbangan terhadap sikap segelintir pihak yang sanggup meniup api perpecahan dalam masyarakat demi kepentingan sendiri.

Fitnah, kebencian cabaran perpaduan kini

Memetik laporan daripada Malaysiakini, baginda bertitah cabaran terhadap perpaduan hari ini tidak lagi hadir dalam bentuk peperangan atau penjajahan, sebaliknya melalui fitnah, kebencian dan hasutan yang disebarkan tanpa batas menerusi media sosial serta pelbagai saluran komunikasi.

“Pada hari ini, cabaran terhadap perpaduan tidak lagi datang dalam bentuk peperangan atau penjajahan seperti dahulu.
“Sebaliknya, ia hadir melalui fitnah, kebencian, hasutan dan perbalahan yang disebarkan tanpa batas melalui media sosial dan pelbagai saluran komunikasi,” titah baginda sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang di Laman Sejahtera, Sungai Koyan, dekat Lipis, semalam.

Foto: FB Kesultanan Pahang

Rakyat memerlukan pemimpin yang pegang kata-kata

Al-Sultan Abdullah bertitah, kekuatan umat Islam bukan hanya terletak pada jumlah, tetapi keupayaan untuk menerima perbezaan pandangan tanpa bermusuhan serta menegur dengan hikmah tanpa menghina antara satu sama lain.

Dalam masa sama, baginda mengingatkan bahawa kejayaan sesebuah negara dan negeri tidak bergantung kepada pemimpin yang petah berbicara semata-mata, sebaliknya kepada mereka yang berpegang teguh pada amanah dan tanggungjawab.

“Rakyat memerlukan pemimpin yang berkata, kata-katanya menjadi pegangan; apabila berjanji, janjinya menjadi kenyataan dan apabila memegang amanah, amanah itu dipikul sehingga selesai.
“Hari ini, terlalu banyak suara yang bergema di pentas ceramah dan media, namun tidak semua gema membawa makna.
“Ada yang lantang ketika memohon kepercayaan, tetapi perlahan apabila tiba waktu untuk menunaikan tanggungjawab.
“Ada yang begitu murah menabur janji, seolah-olah janji itu tidak mempunyai harga yang perlu dibayar,” titah baginda.

Foto: FB Kesultanan Pahang

Tegur segelintir pihak yang berubah-ubah pendirian

Baginda turut menegur sikap segelintir pihak yang menjadikan pendirian sebagai sesuatu yang boleh diubah mengikut keadaan dan kepentingan semasa.

Al-Sultan Abdullah juga menyifatkan golongan tersebut gemar menabur kata-kata indah kepada satu kelompok, namun menggunakan perkara yang sama untuk tujuan berbeza apabila berdepan kelompok lain.

“Hakikatnya, rakyat bukan lagi membaca apa yang tertulis atas kertas, rakyat membaca watak di sebalik kata-kata; rakyat tidak menilai seindah mana pidato disusun, tapi sejauh mana amanah ditunaikan,” titahnya.

Foto: FB Kesultanan Pahang

Sumber: Malaysiakini (NS Ramli)

Scroll to Top