TUDM perkukuhkan keupayaan pengawasan di Pulau Layang-Layang 

TUDM perkukuhkan keupayaan pengawasan di Pulau Layang-Layang 

LABUAN – Keupayaan pengawasan pertahanan negara di Pulau Layang-Layang dekat sini akan terus diperkukuh menerusi pemasangan sistem radar baharu yang dijangka dapat meningkatkan pemantauan ruang udara dan perairan strategik di kawa san berkenaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penambahan sistem radar itu merupakan antara usaha kerajaan memperkukuh kawalan keselamatan di kawasan barisan hadapan negara di Laut China Selatan.

Menurut beliau, Pulau Layang-Layang kekal sebagai lokasi penting dalam memastikan Maritime Domain Awareness (MDA) negara berada pada tahap optimum melalui keupayaan pengesanan dan pemantauan berterusan.

“Lawatan kerja ini adalah untuk meninjau keadaan dan kesiapsiagaan stesen ini yang terletak di Pulau Layang-Layang, yang merupakan antara kawasan tuntutan bertindih sebagai sebahagian Kepulauan Spratly.

Kawasan ini merupakan kawasan pertindihan tuntutan daripada negara China, Vietnam dan Filipina.

“Kehadiran ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan soal kedaulatan, keselamatan yang boleh dilakukan di kawasan ini dan secara berterusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke Stesen LIMA TLDM di Pulau Layang-Layang pada Selasa.

Katanya, kehadiran pasukan keselamatan di kawasan berkenaan penting kerana ia melibatkan tuntutan beberapa negara tersebut.

“Ini adalah sebagai satu usaha kita menunjukkan bahawa ini adalah kawasan kita, kita akan mempertahankan kawasan ini.

“Kita dapat lihat pembangunan yang telah kita lakukan di pulau dan terdapat lima stesen di sekelilingnya di mana ia terletak di bawah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya.

Menurut Mohamed Khaled lagi, Pulau Layang-Layang turut menjadi lokasi operasi pelbagai aset pemantauan termasuk sistem tanpa pemandu yang membantu pengawasan siang dan malam.

“Selepas ini kita akan memasang air defence radar untuk meningkatkan lagi kawalan di kawasan ini.

“2029 siap. Sekarang pihak terlibat sedang melaksanakan kerja-kerja pembinaan asas. Mereka telah menilai dan menentukan keperluan termasuk aspek yang diperlukan serta kos yang terlibat. Sebelum radar itu siap dipasang, kerja-kerja asas bagi penempatan radar tersebut akan dilaksanakan terlebih dahulu,” jelasnya.

Sementara itu, ditanya mengenai bekas resort terbiar di kawasan berkenaan dan cadangan untuk membangunkannya sebagai kawasan pelancongan, beliau berkata, kerajaan terbuka untuk mempertimbangkan sebarang cadangan daripada pihak yang berminat melabur.

“Kalau ada pihak yang ingin melabur atau membangunkan resort di sini, kerajaan terbuka untuk mempertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan di pulau berkenaan akan terus dipertingkat termasuk kemudahan asas dan infrastruktur pertahanan bagi memastikan kesiapsiagaan negara berada pada tahap terbaik.

Katanya, Pulau Layang-Layang kekal sebagai kawasan barisan hadapan negara yang mencerminkan komitmen Malaysia mempertahankan kedaulatan di Laut China Selatan.

Scroll to Top