‘PN gagal tubuh kerajaan kerana sikap hasad individu’ – Wan Ahmad Fayhsal

‘PN gagal tubuh kerajaan kerana sikap hasad individu’ – Wan Ahmad Fayhsal
‘PN gagal tubuh kerajaan kerana sikap hasad individu’ – Wan Ahmad Fayhsal

Wan Ahmad Fayhsal

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mendakwa kegagalan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berpunca daripada sikap hasad dan ego seorang individu yang enggan memberi laluan kepada calon lain.

Bekas Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, perkara tersebut didedahkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Alkisah selepas gagal membentuk kerajaan, istana bersedia menerima nama lain daripada PN dan Pas juga bersedia menamakan calon lain, malah Ahli Parlimen Bersatu (asal) turut bersedia.

“Tetapi orang itu tetap berkeras, hanya aku seorang yang boleh dan layak,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal mendakwa sikap hasad, angkuh dan keakuan menjadi punca kepada kemelut yang berlaku dalam PN ketika itu.

Tanpa menamakan mana-mana individu, beliau mengumpamakan sifat berkenaan sebagai ‘api dalam sekam’ yang menjadi kanser dan merosakkan organisasi.

“Alhamdulillah, barah ini kita dah rawat. Kita buang sel-sel kanser dalam batang tubuh PN,” ujarnya.

Sebelum ini, Wan Ahmad Fayhsal mendakwa kegagalan Tan Sri Muhyiddin Yassin menguruskan konflik dalaman dengan Pas akan meletakkan Bersatu di ambang kehancuran.

Beliau menegaskan tindakan Ahli Parlimen Pagoh itu yang berkeras dalam kemelut PN ketika ini dilihat merugikan parti dan gabungan tersebut.

Scroll to Top