am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Pekerja penghantar barang dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menumbuk muka dan kepala isterinya kerana berang disuruh menjelaskan tunggakan sewa rumah.
Majistret Arun Noval Dass menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Norkholis Idris Imam Muryadi, 35, yang berhadapan dua pertuduhan selepas mengambil kira pengakuan dibuat serta fakta kes secara menyeluruh.
Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada tiga anak didakwa dengan sengaja mencederakan isterinya berusia 32 tahun dengan cara menolaknya hingga tersandar pada dinding di sebuah stor di Parit Raja di sini, 9 pagi, 13 Jun lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia sekali lagi didakwa mencederakan isterinya dengan menumbuk muka dan kepala dengan perbuatan ini dilakukan dalam sebuah kereta yang diparkir di hadapan rumah, 9.30 pagi hari sama.
Semua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.
Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya manakala Seksyen 326A, penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan ke atas sabitan mengikut Seksyen 323.
Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga isteri mangsa membuat laporan polis mendakwa dicederakan suaminya ketika berada di sebuah stor dan dalam kereta.
Siasatan mendapati, insiden bermula dengan pertengkaran mulut selepas tertuduh berang desakan isterinya yang memintanya menjelaskan tunggakan sewa rumah.
Tertuduh kemudiannya menolak wanita itu hingga tersandar pada dinding. Insiden itu berlarutan ketika pasangan itu dalam perjalanan pulang ke rumah.
Sebaik tiba di pekarangan rumah, tertuduh terus menumbuk muka dan kepada isterinya hingga cedera ringan.
Bertindak atas laporan dibuat, polis menahan tertuduh pada jam 1.35 tengah hari menahan tertuduh di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat bagi membantu siasatan.
Siasatan mendapati pasangan itu sebelum ini tinggal di rumah sewa tahun namun berpindah sebuah bilik selepas gagal menjelaskan sewa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam Heng Eng Gee daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan dengan kesemua dijalankan secara serentak bermula dari tarikh ditangkap 13 Jun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




