SINTOK – Jabatan Peguam Negara (AGC) memainkan peranan strategik dalam memacu reformasi undang-undang dan institusi negara bagi memastikan sistem keadilan Malaysia kekal moden, responsif dan selari dengan keperluan semasa.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, reformasi institusi bukan sekadar agenda pentadbiran, sebaliknya merupakan keperluan penting bagi memastikan prinsip kedaulatan undang-undang terus diperkukuh dalam landskap masyarakat yang semakin kompleks.
Menurut beliau, kedaulatan undang-undang bukan konsep statik yang hanya tersimpan dalam sejarah, sebaliknya merupakan kerangka hidup yang perlu sentiasa berkembang seiring dengan perubahan masyarakat.
“Reformasi institusi ialah enjin yang memastikan kerangka ini terus moden, tersusun dan anjal, sekali gus menjamin neraca keadilan kekal seimbang dalam dunia moden,” katanya.

Mohd Dasuki ketika menyampaikan Syarahan Perdana CEO@Faculty, UUM bertajuk Strengthening the Rule of Law Through Institutional Reform: Malaysia’s Roadmap for a Modern Justice System di Kompleks Konvensyen UUM.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Perdana CEO@Faculty, UUM bertajuk ‘Strengthening the Rule of Law Through Institutional Reform: Malaysia’s Roadmap for a Modern Justice System’ di Kompleks Konvensyen Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Khamis.
Mohd Dusuki berkata, antara reformasi institusi paling penting yang sedang dilaksanakan ialah pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan mewujudkan fungsi Pendakwa Raya yang benar-benar bebas dan terpisah daripada peranan Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan.
Menurutnya, pemisahan tersebut merupakan pencapaian penting dalam memperkukuh kebebasan pendakwaan dan meningkatkan keyakinan awam terhadap sistem keadilan negara.
“Reformasi itu juga penting kerana ia memperkukuh prinsip pengasingan kuasa dan memberi keyakinan bahawa keputusan pendakwaan dibuat secara bebas serta berasaskan pertimbangan undang-undang,” katanya.

Dusuki Mokhtar (dua dari kanan) memalu gong bagi melancarkan Projek Komuniti Perdana Jaringan Undang-Undang Sosio-Transformasi (JUST) Universiti Utara Malaysia
Mohd Dusuki berkata, hala tuju negara ke arah sistem keadilan moden turut dapat dilihat melalui beberapa inisiatif perundangan penting, khususnya usaha memodenkan asas perundangan lama negara.
Dalam hubungan ini, AGC sedang melaksanakan Kajian Reformasi Undang-Undang Pra-1969 bagi mengenal pasti undang-undang lama yang perlu dipinda, dikemas kini atau dimansuhkan supaya kekal relevan dengan keperluan semasa.
Beliau berkata, usaha itu merangkumi semakan dan reformasi undang-undang Malaysia secara sistematik, penyelarasan undang-undang dengan perkembangan semasa serta penyesuaian perundangan dengan keperluan masyarakat moden.
Katanya, AGC turut menyumbang kepada penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 [Akta 869] sebagai sebahagian daripada agenda reformasi institusi berkaitan perkhidmatan Parlimen di Malaysia.
“Akta itu memberi kuasa kepada Parlimen untuk mengurus hal ehwal perjawatan, kewangan dan pentadbirannya secara bebas, termasuk melalui pembentukan kerangka tadbir urus dan pentadbiran yang lebih kukuh bagi menyokong fungsi Parlimen,” katanya.
Selain itu, Mohd Dusuki berkata, AGC turut memajukan reformasi bagi memperkukuh akses kepada keadilan untuk semua, khususnya melalui penggubalan dan penguatkuasaan Akta Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2026 [Akta 878].
Menurut beliau, undang-undang baharu itu akan meningkatkan akses kepada perkhidmatan guaman, khususnya bagi masyarakat luar bandar dan individu yang kurang mengetahui hak undang-undang mereka.
Katanya, akta tersebut turut memperkenalkan mekanisme yang membolehkan orang ramai mendapatkan nasihat guaman secara dalam talian tanpa perlu hadir secara fizikal ke pejabat bantuan guaman.
“Antara reformasi utama yang sedang diberi perhatian ialah Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat, yang telah dipersetujui secara prinsip oleh Jemaah Menteri. RUU itu bertujuan memperluas akses awam kepada maklumat yang dipegang oleh kerajaan selaras dengan prinsip ketelusan,” katanya.

Pengerusi merangkap Imam Masjid Al-Bukhary, Alor Setar, Mohamad Nasrudin Ismail (kiri) menerima sijil penghargaan sebagai Rakan Kolaborasi bagi Projek Komuniti Perdana Jaringan Undang-Undang Sosial Transformasi (AIST) daripada Dr. Ram Al Jaffri sambil disaksikan oleh Mohd Dusuki.
Beliau berkata, AGC memainkan peranan penting dalam memastikan kerangka undang-undang yang dicadangkan itu selaras dengan undang-undang sedia ada, di samping mengimbangi keperluan ketelusan dengan perlindungan kerahsiaan serta data peribadi.
Selain itu, katanya, cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia turut dilihat sebagai reformasi institusi penting bagi memperkukuh tadbir urus dan menangani salah tadbir melalui mekanisme bebas, telus dan bertanggungjawab.
“Penubuhan Ombudsman Malaysia akan mewujudkan sebuah badan pengawasan berpusat bagi aduan awam, memperkukuh perlindungan pemberi maklumat dan menyediakan saluran penyelesaian aduan yang lebih cekap serta mudah diakses oleh rakyat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pada tahun 2025, AGC berjaya menyelesaikan sebanyak 3,055 kes rayuan jenayah, manakala pada suku pertama 2026 sahaja, sebanyak 965 kes rayuan jenayah telah diselesaikan.
Katanya, pencapaian itu mencerminkan kapasiti, disiplin dan dedikasi pegawai AGC dalam membantu pelupusan rayuan jenayah secara lebih cekap di mahkamah atasan.
Selain reformasi domestik, AGC turut memainkan peranan penting dalam hubungan undang-undang antarabangsa dengan memastikan perkembangan perundangan negara selaras dengan standard global dan obligasi perjanjian antarabangsa.
AGC juga menyelaras penyertaan Malaysia dalam platform antarabangsa dan serantau seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, ASEAN dan Komanwel, selain membantu merumuskan serta membentangkan pendirian undang-undang Malaysia.
Beliau berkata semua inisiatif tersebut mencerminkan usaha yang tersusun, bersepadu dan berterusan untuk memperkukuh kedaulatan undang-undang melalui reformasi undang-undang dan institusi yang praktikal serta bersasar.
Menurutnya, AGC berpegang kepada prinsip bahawa undang-undang mesti sentiasa berkembang untuk mencerminkan dan menjawab keperluan masyarakat yang berubah, selain menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi yang pesat dan arus globalisasi.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang mewakili Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad; Penolong Naib Canselor merangkap Dekan Pusat Pengajian Undang-Undang UUM, Profesor Dr. Harlida Abdul Wahab; Ketua Bahagian Pendakwaan AGC, Datuk Masri Mohd Daud; Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan I AGC, Datuk Badius Zaman Ahmad; Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah; Saifulrijal Azhari dan Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim.



