Pencapaian STPM Sabah meningkat

Pencapaian STPM Sabah meningkat

KOTA KINABALU: Seramai 158 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 di Sabah berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 iaitu meningkat 12 calon berbanding tahun lalu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, pencapaian itu mencerminkan peningkatan prestasi calon STPM di negeri ini sekali gus membuktikan keberkesanan usaha berterusan semua pihak dalam meningkatkan mutu pendidikan.

Menurutnya, daripada 8,296 calon yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM tahun ini, seramai 7,632 calon atau 91.99 peratus hadir menduduki peperiksaan tersebut.

“Daripada jumlah itu, seramai 158 calon atau 2.07 peratus memperoleh PNGK 4.0 berbanding 146 calon pada tahun 2024.

“Bagi pencapaian keseluruhan mengikut kategori PNGK, seramai 453 calon atau 5.93 peratus memperoleh PNGK 3.75, manakala 2,411 calon atau 31.59 peratus memperoleh PNGK 3.00,” katanya dalam sidang akhbar dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2025 di Wisma Pendidikan Sabah, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Raisin berkata, seramai 1,120 calon atau 14.67 peratus memperoleh PNGK 2.75, manakala 2,726 calon atau 35.71 peratus mencapai PNGK 2.00, dengan semua kategori menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Mengulas pencapaian keseluruhan negeri, beliau berkata Sabah turut mencatatkan peningkatan PNGK berbanding tahun lalu.

Katanya, PNGK kebangsaan bagi STPM 2025 adalah 2.88, manakala Sabah merekodkan PNGK 2.78 berbanding 2.77 pada tahun 2024.

“Peningkatan sebanyak 0.01 mata ini menunjukkan prestasi calon STPM Sabah terus menunjukkan perkembangan positif dari tahun ke tahun,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, seramai 7,629 calon atau 99.96 peratus daripada 7,632 calon yang hadir menduduki peperiksaan layak dianugerahkan Sijil STPM 2025.

Menurutnya, syarat kelayakan memperoleh Sijil STPM adalah calon perlu mencapai sekurang-kurangnya keputusan lulus sebahagian dalam satu mata pelajaran yang diduduki.

“Pencapaian ini menunjukkan majoriti calon berjaya memenuhi syarat minimum untuk dianugerahkan Sijil STPM,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top