Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkan jumlah ganti rugi am diberikan kepada Penasihat DAP Lim Guan Eng daripada RM1.05 juta kepada RM450,000 dalam saman fitnah difailkan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pembatalan pengecualian cukai bagi Yayasan Albukhary.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azhahari Kamal Ramli, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Seri Latifah Mohd Tahar, selepas membenarkan sebahagian rayuan Muhyiddin terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Dalam penghakiman sebulat suara, Hakim Azhahari berkata, setelah meneliti tiga kenyataan yang dipertikaikan bertarikh 9, 11 dan 12 Mac 2023, Mahkamah Tinggi adalah tepat dalam memutuskan bahawa kenyataan tersebut bersifat fitnah dan tiada alasan untuk mengubah dapatan fakta itu.
“Berhubung jumlah ganti rugi, setelah mengambil kira keseluruhan rentetan peristiwa serta keterangan yang dikemukakan semasa perbicaraan, kami berpendapat jumlah ganti rugi am diberikan adalah terlalu tinggi.
“Sehubungan itu, mahkamah menetapkan ganti rugi sebanyak RM150,000 bagi setiap satu daripada tiga kenyataan tersebut, menjadikan jumlah keseluruhan RM450,000. Oleh itu, jumlah RM1.05 juta digantikan dengan RM450,000,” katanya.
Panel itu turut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan RM150,000 sebagai ganti rugi teruk dan RM150,000 sebagai ganti rugi teladan kepada Lim.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan rayuan silang Lim berhubung faedah dan memerintahkan faedah pada kadar lima peratus setahun dibayar bermula dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh dibuat.
Panel tersebut turut memerintahkan Muhyiddin membayar kos sebanyak RM5,000 kepada Lim, manakala bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu pula diperintahkan membayar kos RM30,000 kepada bekas Perdana Menteri itu.
Pada 27 Mac 2023, Lim memfailkan saman terhadap Muhyiddin atas dakwaan mengeluarkan tiga kenyataan berunsur fitnah menerusi Facebook pada 9, 11 dan 12 Mac 2023 yang mengaitkannya dengan isu pengecualian cukai.
Laporan berkaitan kenyataan tersebut kemudian disiarkan oleh beberapa akhbar dan portal berita.
Pada November 2024, Mahkamah Tinggi membenarkan saman Lim dan memerintahkan Muhyiddin membayar RM350,000 bagi setiap satu daripada tiga kenyataan berkenaan, menjadikan jumlah keseluruhan RM1.05 juta sebagai ganti rugi am, selain RM150,000 sebagai ganti rugi teruk dan RM150,000 sebagai ganti rugi teladan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




