zatuliffah@hmetro.com.my
Foto
Kuala Lumpur: Kehadiran warden sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berjaya mencatatkan impak luar biasa apabila isu salah laku disiplin didapati menurun secara drastik.
Malah, pelaksanaan inisiatif itu juga menyaksikan masalah buli dalam kalangan pelajar kini merekodkan status hampir sifar sepanjang keberadaan warden itu.
Keberkesanan itu dibuktikan secara rasmi menerusi Laporan Lengkap Kajian Keberkesanan Projek Rintis Pelantikan Warden Luar Sepenuh Masa Dalam Kalangan Bekas Tentera yang dilaksanakan di MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang setebal 191 muka surat, baru-baru ini.
Buku laporan itu diserahkan secara rasmi oleh Ketua Penyelidik Institut Pengajian Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman kepada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Kajian mendalam itu dijalankan bagi menilai impak dan prestasi warden bekas tentera yang ditempatkan di dua lokasi projek rintis iaitu di MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang
Asyraf Wajdi berkata, dapatan utama kajian itu mengesahkan warden bekas tentera berkesan mengawal disiplin dan keselamatan asrama selain penerimaan positif daripada pelajar, ibu bapa dan pentadbir.
Menurutnya, kehadiran warden yang kerap dan sistematik meminimumkan ruang berlakunya buli dan vandalisme.
“Pelajar juga merasa selamat dan lebih berdisiplin dalam mematuhi waktu, kekemasan diri dan asrama, mencanai nilai hormat dan adab.
“Kehadiran mereka turut memperkukuh dimensi kerohanian pelajar dengan pembabitan langsung warden dalam aktiviti keagamaan.
“Pelantikan ini sekali gus berjaya meringankan beban guru dengan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kecemerlangan akademik dan bimbingan sahsiah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Susulan kejayaan besar itu, Asyraf Wajdi berkata, MARA akan melaksanakan pengambilan warden sepenuh masa daripada kalangan bekas tentera di kesemua 58 MRSM seluruh negara selain meminta pihak UPM menyediakan modul latihan khas serta melanjutkan kajian terperinci bagi menangani isu buli mental secara holistik.
MARA sebelum ini memulakan projek rintis menempatkan warden bekas tentera di asrama pelajar di MRSM Besut dan Balik Pulau sebagai inisiatif penting menangani keganasan dan buli di institusi itu.
Ia adalah projek rintis enam bulan sebagai inisiatif penting menangani isu buli yang wajib dibanteras dan memutuskan rantaian ganasnya seperti ditegaskan Asyraf Wajdi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




