KBS teliti permohonan Hup Wei

KBS teliti permohonan Hup Wei

SHAH ALAM: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang meneliti permohonan jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei berhubung permintaannya untuk mendapatkan khidmat jurulatih peribadi bagi persediaan ke Sukan Olimpik di Tokyo, Julai ini.

Timbalan menterinya, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata pihaknya akan memberi jawapan balas berhubung permohonan Lee itu selepas pasukan olahraga pulang daripada pertandingan kelayakan di Astana, Kazakhstan.

“KBS sedang meneliti permohonan beliau (Lee) dan apabila mereka pulang nanti, kementerian akan beri jawapan balas. Kita memahami permintaan beliau itu,” katanya selepas lawatan kerja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Daerah Kuala Selangor Universiti Teknologi Mara, Puncak Alam, di sini hari ini.

Mengulas berhubung `kemelut’ yang dialami Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Wan Ahmad Fayhsal berkata pihaknya berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin dan tidak akan masuk campur dengan keadaan sekarang.

Di samping itu, beliau turut mengharapkan pemain skuad Harimau Malaya bangkit dan menampilkan permainan terbaik bagi skuad negara mengakhiri aksi Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand, tengah malam ini.

“Walaupun impian ke Piala Dunia sudah tamat, namun sekurang-kurangnya kita boleh tambah baik mod permainan (yang baik) demi maruah negara,” katanya.

Mengulas berhubung program Malaysia Vaccine Support Volunteers’ (MyVac), Wan Ahmad Fayhsal berkata sehingga kini kira-kira 40,000 individu di seluruh negara sudah mendaftar sejak pemberian vaksin fasa pertama Mac lalu.

Katanya, sehingga kini sejumlah 3,000 sukarelawan MyVac sudah mula digerakkan dan bertugas di Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) seluruh negara bagi membantu melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

– BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top