MUDA umum calon, kerusi PRN Johor hujung minggu ini

MUDA umum calon, kerusi PRN Johor hujung minggu ini

JOHOR BAHRU – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan mengumumkan senarai calon dan kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 20 dan 21 Jun ini.

Pengarah Pilihan Raya Negeri Johor MUDA, Rasid Abu Bakar berkata, pengumuman itu menandakan bermulanya fasa seterusnya dalam persiapan parti menghadapi PRN selepas selesainya proses penilaian dan pemilihan calon oleh Jawatankuasa Pemilihan Calon (JPC).

Menurutnya, proses pemilihan yang dilaksanakan dibuat secara menyeluruh bagi memastikan individu yang diketengahkan mempunyai integriti, keupayaan kepimpinan dan komitmen terhadap perjuangan parti serta rakyat.

“Barisan calon yang bakal diumumkan turut mencerminkan komitmen MUDA untuk mengetengahkan generasi pemimpin baharu berani, berwibawa dan memahami cabaran yang dihadapi rakyat Johor hari ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, PRN Johor merupakan peluang penting kepada rakyat untuk menentukan hala tuju negeri itu, khususnya dalam isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan, pendidikan dan tadbir urus.

Tambah beliau, MUDA percaya rakyat Johor berhak diberikan pilihan yang menawarkan idea baharu, politik yang bersih dan kepimpinan yang bersedia mendengar serta memperjuangkan kepentingan rakyat.

Katanya, maklumat lanjut mengenai lokasi, masa dan atur cara pengumuman calon akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

“MUDA menjemput seluruh rakyat Johor serta rakan-rakan media untuk mengikuti pengumuman tersebut,” katanya.

Scroll to Top