Tourism Malaysia giat promosi produk kesihatan tempatan sempena TMM2026

Tourism Malaysia giat promosi produk kesihatan tempatan sempena TMM2026

SEPANG: Tourism Malaysia akan mempergiat promosi produk berasaskan kesejahteraan dan kesihatan tempatan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong asing ke negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd. Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, produk seperti madu kelulut, tongkat ali, durian dan pelbagai hasil tempatan lain akan dijadikan antara bahan promosi ketika misi jualan pelancongan ke luar negara.

Menurut beliau, pendekatan itu membolehkan pelancong mengenali Malaysia bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan, malah sebagai negara yang kaya dengan produk semula jadi berasaskan kesihatan dan kesejahteraan.

“Kita akan berterusan mempromosikan produk-produk ini setiap kali mengadakan misi jualan ke luar negara bagi mempromosikan destinasi pelancongan Malaysia.

“Kita mahu mengetengahkan produk tempatan yang berasaskan kesejahteraan dan kesihatan kerana ia mempunyai keunikan tersendiri serta berpotensi menjadi tarikan kepada pelancong antarabangsa,” katanya selepas melancarkan MyTreasure di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) di sini,hari ini.

Beliau berkata, pelancong lazimnya mencari cenderamata untuk dibawa pulang selepas melawat sesebuah negara dan produk tempatan berasaskan kesihatan boleh menjadi pilihan yang mempunyai nilai tambah.

Katanya, inisiatif seperti MyTreasure membantu memperkenalkan produk Malaysia kepada pelawat antarabangsa menerusi konsep yang menggabungkan elemen cenderamata dan kesihatan dalam satu platform.

Dalam pada itu, beliau berharap lebih banyak syarikat tempatan tampil memperkenalkan produk berasaskan sumber semula jadi negara bagi menyokong usaha mempromosikan Malaysia kepada pelancong antarabangsa.

Menurutnya, produk tempatan yang dibawa pulang oleh pelancong bukan sahaja berfungsi sebagai cenderamata, malah mampu menjadi medium promosi negara apabila diperkenalkan kepada masyarakat di negara asal mereka.

“Apabila pelancong membawa pulang produk-produk ini, mereka turut membawa bersama cerita dan pengalaman mengenai Malaysia. Secara tidak langsung ia membantu mempromosikan negara kita di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan JYY, Alan Tan berkata, Malaysia memiliki banyak produk unik yang masih belum dikenali di peringkat antarabangsa.

Justeru itu, katanya, inisiatif ini berfungsi sebagai platform untuk memperkenalkan khazanah tempatan kepada pelancong dari seluruh dunia.

“Setiap tahun, jutaan pelancong melalui KLIA 2 dan kami berharap MyTreasure dapat menjadi kenangan terakhir mereka mengenai Malaysia sebelum pulang ke negara masing-masing.

“Malaysia bukan hanya dikenali dengan durian Musang King, sebaliknya mempunyai banyak lagi khazanah yang wajar diketengahkan kepada dunia,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top