Malaysia mencatat lonjakan lapan anak tangga ke kedudukan ke-15 daripada 70 ekonomi dalam World Competitiveness Ranking (WCR) 2026, sekali gus merekodkan prestasi terbaik negara dalam tempoh sedekad.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata pencapaian itu mencerminkan keberkesanan usaha reformasi yang dilaksanakan Kerajaan MADANI.
“Untuk rekod, sasaran kerajaan adalah di kedudukan ke-12 terbaik menjelang 2030,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, faktor Kecekapan Kerajaan yang merupakan satu daripada empat faktor utama penilaian turut menunjukkan peningkatan ketara apabila melonjak 11 anak tangga daripada kedudukan ke-25 kepada ke-14.
Katanya, peningkatan itu membuktikan reformasi yang dilaksanakan bagi memperkukuh tatakelola, meningkatkan kecekapan penyampaian serta mengurangkan beban birokrasi kini mula memberi kesan yang dapat dirasai rakyat dan komuniti perniagaan.
“Beberapa indikator berkaitan Kecekapan Kerajaan turut mencatat peningkatan ketara termasuk Tempoh Memulakan Perniagaan yang melonjak 38 anak tangga daripada kedudukan ke-53 kepada ke-15,” katanya lagi.

Beliau berkata lonjakan itu turut dipacu oleh peningkatan 29 anak tangga bagi subfaktor Perundangan Perniagaan daripada kedudukan ke-46 kepada ke-17.
Selain itu, indikator baharu Beban Peraturan dalam WCR 2026 meletakkan Malaysia di kedudukan ke-11 dunia, manakala indikator Birokrasi meningkat ke tangga keenam berbanding ke-14 sebelum ini.
Shamsul Azri berkata pencapaian tersebut selari dengan pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang menjadi kerangka utama penambahbaikan perkhidmatan kerajaan merangkumi aspek tatakelola, pembangunan modal insan dan penyampaian perkhidmatan.
Menurutnya lagi, Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (ILTIZAM) serta Pekeliling ILTIZAM yang berkuat kuasa 1 Disember lalu turut menjadi pemangkin kepada reformasi peraturan negara.

Artikel lain: BDR berjaya jimatkan RM4.22 juta subsidi petrol – KSN
Beliau berkata antara mekanisme utama diperkenalkan termasuk semakan berkala instrumen kawal selia setiap tiga tahun, pengurangan beban peraturan sekurang-kurangnya 25 peratus serta dasar “satu masuk, satu keluar”.
Sementara itu, Program Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) disasarkan melaksanakan 500 projek tahun ini dengan potensi penjimatan kos pematuhan sebanyak RM2.5 bilion kepada rakyat dan komuniti perniagaan.

Shamsul Azri menegaskan, perkhidmatan awam akan terus memperkukuh momentum reformasi bagi memastikan setiap pembaharuan memberi kesan langsung kepada rakyat dan ekonomi negara.
“Kerajaan komited memastikan setiap pembaharuan diterjemahkan kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, pengurangan beban peraturan, peningkatan produktiviti serta persekitaran yang lebih kondusif kepada pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara,” katanya.




