Remaja ‘dinoda’, dirompak ketika berjoging

Remaja ‘dinoda’, dirompak ketika berjoging

TUMPAT: Keseronokan seorang remaja yang berjoging bersama adik lelakinya bertukar tragedi apabila mangsa dirogol sebelum dipukul dan dirompak seorang lelaki di kawasan semak berhampiran tali air di Kampung Mesira, Palekbang di sini semalam.

Remaja berusia 15 tahun itu cedera pada bahagian muka, kepala dan badan ditemui oleh orang awam di kawasan tersebut kira-kira pukul 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie berkata, siasatan awal mendapati, bapa mangsa yang berusia dalam lingkungan 50-an mencari remaja itu pada pukul 10 pagi apabila anaknya tidak pulang ke rumah selepas keluar beriadah kira-kira pukul 7 pagi.

Katanya, mangsa ditemui dalam keadaan separuh sedar selain mengalami kecederaan parah pada bahagian muka, kepala dan badan. 

“Siasatan awal mendapati, seorang lelaki yang tidak dikenali bertindak memukul mangsa pada bahagian muka dan kepalanya menggunakan sebatang kayu. 

“Remaja itu dipercayai dirogol di lokasi kejadian sebelum telefon bimbitnya turut dilarikan oleh suspek,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Mohd. Khairi memberitahu, mangsa dibawa ke Hospital Tumpat di sini sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Zainab II, Kota Bharu untuk rawatan lanjut daripada pakar.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan sehingga mendatangkan kecederaan terhadap mangsa.-UTUSAN

 

Scroll to Top