13 maut dalam serangan ke atas lapangan terbang, Pangkalan Tentera Udara Niger

13 maut dalam serangan ke atas lapangan terbang, Pangkalan Tentera Udara Niger

Niamey: Serangan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Diori Hamani dan kemudahan tentera berdekatan Niamey, ibu negara Niger, membunuh 11 anggota pasukan pertahanan dan keselamatan serta dua orang awam, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan Niger pada Khamis, lapor Xinhua.

Kementerian itu memaklumkan penyerang cuba memasuki terminal lapangan terbang pada awal pagi Khamis, tetapi dihalang oleh pasukan keselamatan.

Dalam operasi berikutnya, 22 penyerang maut dan kira-kira 20 suspek ditahan. Pasukan keselamatan meneruskan operasi pembersihan di kawasan itu.

Terdahulu pada Khamis, tembakan berterusan kedengaran di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Diori Hamani.

Beberapa penduduk tempatan memberitahu Xinhua tembakan berlarutan selama lebih satu jam.

Kawasan itu juga menempatkan Pangkalan Tentera Udara 101 Niger serta kemudahan berkaitan ketenteraan yang dikaitkan dengan Konfederasi Negara Sahel.

Pemerhatian wartawan Xinhua di lapangan mendapati sebahagian besar ibu negara kembali normal menjelang petang Khamis, dengan trafik normal di jalan utama dan tiada tanda-tanda gangguan kelihatan di sekitar kawasan lapangan terbang.

Menurut Kementerian Pertahanan, lapangan terbang itu dilindungi sepenuhnya dan masih terbuka kepada lalu lintas udara.

Kawasan itu sebelum ini menjadi sasaran dalam serangan yang dikaitkan dengan kumpulan pelampau pada akhir Januari, iaitu menurut pasukan pertahanan dan keselamatan Niger, sekurang-kurangnya 20 penyerang ditewaskan dan 11 yang lain diberkas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top