New York: Penyampai radio dan wartawan terkenal Britain, Jim White berdepan detik mencemaskan apabila hampir ditahan polis selepas bertindak melompat penghadang keselamatan ketika cuba mengharungi kesesakan luar biasa di New York.
White, 69, yang berada di Amerika Syarikat (AS) bagi membuat liputan Piala Dunia, menceritakan insiden itu ketika bersiaran bersama rakan pengacara talkSPORT, Paul Hawksbee.
Menurutnya, laluan ke studio yang terletak di One World Trade Center terganggu akibat kesesakan teruk susulan perarakan kemenangan New York Knicks yang menjuarai NBA buat kali pertama sejak 1973.
“Keadaan benar-benar sesak. Hotel saya kurang sejam dari sini, jadi saya keluar lebih awal, tetapi menghadapi masalah untuk menghampiri World Trade Center.
“Ketika itu terdapat penghadang di hadapan saya. Saya berfikir sama ada mahu melompat melepasinya atau tidak. Dikelilingi ribuan penyokong Knicks, saya akhirnya membuat keputusan untuk melompat,” katanya.
Bagaimanapun, tindakannya itu segera mengundang perhatian anggota polis New York yang terus menghalangnya.
“Saya segera ditahan oleh seorang anggota polis. Mereka kemudian memberi amaran bahawa jika saya mengulangi tindakan itu, saya boleh ditahan,” katanya.
White kemudian cuba menjelaskan situasinya kepada pegawai polis terbabit yang dikenali sebagai Vinny.
“Saya berkata, ‘Vinny, awak perlu bantu saya. Nama saya Jim White. Saya mengendalikan rancangan White and Jordan di talkSPORT bersama Simon Jordan’.
“Dia memandang saya seolah-olah tidak mengenali siapa saya sebelum berkata, ‘Baiklah, mari kita lihat apa yang boleh dilakukan’,” katanya sambil berseloroh.
Menurut White, pegawai polis itu akhirnya membantunya melepasi kawalan keselamatan dan mengiringinya sehingga ke World Trade Center bagi memastikan dia sempat ke studio.
© New Straits Times Press (M) Bhd




