Oh! Tidak
Pasangan China jelaskan dakwaan RM10,000 hilang selepas dompet tertinggal di pasar raya Semenyih.
Sejak semalam, kecoh di media sosial apabila tular video pertikaian antara seorang lelaki dan pasangan warga China di sebuah balai polis.
Isunya bermula selepas pasangan itu mendakwa wang tunai RM10,000 dalam dompet mereka hilang, walaupun dompet berkenaan akhirnya dipulangkan oleh lelaki terbabit.
Suami pemilik dompet tampil beri penjelasan

Suami kepada pemilik dompet yang dikenali sebagai CJ kemudian tampil membuat kenyataan bagi menjelaskan situasi sebenar dari pihak mereka.
Menurut CJ, wang tunai RM10,000 itu dikumpulkan sedikit demi sedikit dalam tempoh kira-kira 15 hari. Wang itu didakwa disimpan dalam satu dompet kerana mahu digunakan untuk perbelanjaan harian sepanjang berada di Malaysia.
CJ turut menjelaskan wang tersebut dikumpulkan selepas mereka mengambil kesempatan terhadap kadar pertukaran Ringgit Malaysia berbanding Yuan China yang lebih menguntungkan.
Dompet tertinggal di pasar raya

Menurut CJ, kejadian berlaku sekitar jam 3 petang ketika mereka membeli-belah di CLC Supermarket, Semenyih.
Isterinya dikatakan tertinggal dompet di atas peti sejuk beku aiskrim sebelum menyedari dompet berkenaan hilang. Mereka kemudian meminta pihak pasar raya menyemak rakaman CCTV.
CJ mendakwa rakaman itu menunjukkan seorang kanak-kanak mengambil dompet tersebut sebelum menyerahkannya kepada ibunya. Katanya, keluarga itu kemudian bergegas ke kaunter pembayaran sebelum meninggalkan pasar raya.
Siasatan polis masih berjalan
CJ berkata rakaman CCTV dan nombor pendaftaran kenderaan sudah diserahkan kepada polis sebelum pemilik kenderaan dihubungi bagi memulangkan dompet itu.
Kira-kira setengah jam kemudian, lelaki terbabit hadir ke balai polis bersama dompet berkenaan. Namun, menurut CJ, wang tunai RM10,000 itu sudah tiada di dalam dompet.
Dalam masa sama, lelaki yang memulangkan dompet pula menafikan mengambil wang tersebut. Dia mendakwa hanya mahu membantu selepas dompet itu ditemui dan hadir sendiri ke balai polis untuk menyerahkannya.
Setakat ini, kedua-dua pihak masih mempertahankan versi masing-masing. Siasatan polis berhubung dakwaan kehilangan wang tunai RM10,000 itu masih diteruskan.
Pssttt! Dalam isu macam ini, memang mudah untuk netizen pilih pihak berdasarkan video yang tular. Tapi selagi siasatan belum selesai, lebih baik kita tunggu keputusan pihak berkuasa dulu. Jangan sampai niat nak jadi ‘detektif internet’ akhirnya terfitnah orang lain pula.
Kredit: Facebook
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.
Hafizal adalah penulis sepenuh masa di Oh! Media yang sentiasa hadir menemani anda, terutama di saat-saat lewat malam. Untuk mendapatkan berita terkini dan cerita viral, jangan lupa cari nama Hafizal—sentiasa ada untuk menghibur dan menginformasikan anda!




