MCW sambut baik garis panduan pemilikan aset, pelaburan penjawat awam

MCW sambut baik garis panduan pemilikan aset, pelaburan penjawat awam

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Langkah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengeluarkan pekeliling baharu yang memperincikan garis panduan pemilikan aset dalam kalangan penjawat awam berupaya mengimbangi antara hak pekerja membuat pelaburan sah dan pada masa sama memberi penegasan kepada aspek integriti serta konflik kepentingan.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, berkata pekeliling terbaharu JPA bertarikh 16 Jun itu mampu memperkukuh budaya integriti serta membina sebuah perkhidmatan awam yang lebih berwibawa, profesional dan diyakini rakyat.

“MCW menyambut baik pekeliling terbaharu JPA yang memperincikan garis panduan pemilikan aset, termasuk saham, sekuriti dan aset digital dalam kalangan penjawat awam.

“Penetapan had pemilikan dan keperluan mendapatkan kelulusan bagi pegangan yang melebihi had tertentu mampu meningkatkan akauntabiliti dan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam satu pekeliling bertarikh 16 Jun lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, mengeluarkan arahan baharu mengenai pengisytiharan harta bagi penjawat awam termasuk semakan semula had pemilikan saham dalam syarikat serta mekanisme kelulusan yang perlu dipatuhi.

Antara yang terkandung dalam arahan itu adalah had pemilikan saham dalam sesebuah syarikat persendirian tidak boleh melebihi lima peratus daripada modal berbayar atau RM300,000 mengikut mana yang lebih rendah.

Mengulas lanjut, Jais berkata, langkah itu turut menunjukkan kesediaan kerajaan menyesuaikan peraturan mengikut perkembangan era ekonomi digital yang semakin pesat.

Bagaimanapun, tegasnya, aspek pemantauan dan pengisytiharan aset perlu diperkukuh bagi memastikan sumber pendapatan adalah sah serta tidak membabitkan penyalahgunaan kedudukan.

“Isu utama bukanlah berapa banyak aset yang dimiliki oleh seseorang penjawat awam tetapi bagaimana aset tersebut diperoleh.

“Integriti, ketelusan dan pengisytiharan yang jujur mesti menjadi asas kepada setiap bentuk pemilikan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top