UOB Malaysia sasar gandakan segmen pelanggan mewah menjelang 2028

UOB Malaysia sasar gandakan segmen pelanggan mewah menjelang 2028

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: UOB Malaysia menyasarkan untuk menggandakan asas pelanggan mewahnya menjelang 2028 menerusi pengukuhan tawaran pengurusan kekayaan yang lebih komprehensif, sejajar dengan peningkatan pendapatan, kecanggihan kewangan dan jangkaan pelanggan yang semakin berkembang.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Peribadi Negara UOB Malaysia, Elaine Fan berkata, langkah berkenaan dilaksanakan ketika segmen pelanggan mewah dan individu bernilai bersih tinggi (HNW) berkembang pesat di Malaysia, namun masih kurang mendapat akses kepada khidmat nasihat dan sokongan pelaburan yang menyeluruh.

Katanya, budaya pelaburan di Malaysia berkembang dengan pantas, namun masih terdapat jurang antara keperluan pelanggan dan tawaran yang lazim disediakan institusi perbankan tradisional.

“Tumpuan kami adalah untuk merapatkan jurang itu dengan memperkukuh hubungan bersama pelanggan serta menyokong mereka melalui khidmat nasihat yang tepat ketika beralih kepada strategi kekayaan jangka panjang yang lebih pelbagai.

“Tawaran Privilege Banking yang dipertingkatkan ini berteraskan hubungan yang dipercayai dan dipacu khidmat nasihat, disokong oleh rangkaian serantau serta kepakaran pelaburan yang kukuh,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Laporan Kekayaan Global 2026 oleh Boston Consulting Group, sebahagian besar kekayaan dalam kalangan pelanggan mewah di pasaran seperti Malaysia masih tertumpu kepada simpanan deposit, sekali gus menunjukkan akses yang terhad kepada penyelesaian pelaburan berasaskan nasihat.

Dengan memanfaatkan kesalinghubungan ASEAN yang teguh, Kumpulan UOB berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi keperluan segmen ini, bersandarkan aset di bawah pengurusan (AUM) berjumlah SG$210 bilion (atau kira-kira RM653 bilion) merentas perniagaan Perbankan Runcitnya.

Di Malaysia, bank itu merekodkan pertumbuhan kukuh dalam perniagaan pengurusan kekayaan apabila AUM yang dilaburkan meningkat 30 peratus sejak 2024, didorong terutamanya oleh penyelesaian pendapatan tetap yang mantap.

Perkembangan itu turut disokong peningkatan bilangan pelanggan mewah yang mula mempelbagaikan simpanan dan aset boleh labur mereka ke dalam pelbagai produk pelaburan, mencerminkan keyakinan yang semakin tinggi terhadap keupayaan khidmat nasihat bank dalam melindungi serta mengembangkan kekayaan melalui pendekatan berasaskan portfolio.

Bagi menyokong permintaan yang semakin meningkat terhadap khidmat nasihat berfokuskan portfolio, UOB Malaysia turut memperkukuh tawaran Privilege Banking berasaskan tiga tonggak utama iaitu khidmat nasihat kekayaan berteraskan nilai, bimbingan berpusat oleh penasihat pelanggan khusus serta keistimewaan gaya hidup dan kesihatan.

Melalui pendekatan itu, pelanggan akan menerima pandangan pelaburan daripada Pejabat Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) Bank Persendirian serantau UOB, selain akses kepada pelbagai penyelesaian pelaburan termasuk amanah saham, bon runcit, pelaburan berstruktur, pertukaran asing, emas, bankasurans dan perancangan legasi.

Selain khidmat nasihat kewangan, pelanggan Privilege Banking turut menikmati pelbagai manfaat gaya hidup termasuk akses kepada pengalaman menjamu selera dan pengembaraan eksklusif menerusi kerjasama global dengan Michelin Guide serta program Asia’s Finest Tables.

Di Malaysia, UOB turut menjalin kerjasama strategik dengan Rondo Production bagi menyokong program pendidikan muzik klasik untuk generasi akan datang, selain Sunway Healthcare Group yang menawarkan manfaat berkaitan kesihatan dan kesejahteraan pelanggan.

Sementara itu, sehingga 31 Julai 2026, pelanggan UOB Privilege Banking bersama seorang tetamu pengiring layak menikmati diskaun 30 peratus bagi pakej saringan kesihatan terpilih di Pusat Perubatan Sunway di Sunway City, Velocity, Damansara, Ipoh dan Pulau Pinang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top