Hodak, Nafuzi berada dalam radar TFC

Hodak, Nafuzi berada dalam radar TFC

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Selain jurulatih import, Bojan Hodak berada dalam radar Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain turut berada dalam perancangan skuad itu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2026/2027.

Bagaimanapun menurut sumber daripada Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), keputusan muktamad bakal diketahui selewat-lewatnya pada awal bulan depan selepas semua rundingan selesai.

Terdahulu sumber daripada PBSNT itu memaklumkan empat jurulatih berwibawa termasuk bekas pengendali skuad kebangsaan dan TFC berada dalam radar pasukan itu pada musim baharu nanti.

“Dua jurulatih itu (Bojan Hodak dan Nafuzi Zain) berada dalam perancangan pihak pengurusan PBSNT untuk membimbing pasukan TFC pada musim baharu nanti.

“Bagaimanapun ingin saya tegaskan keputusan muktamad sama ada jurulatih itu akan membimbing TFC ataupun sebaliknya belum diputuskan lagi kerana masih dalam proses penilaian dan perbincangan lanjut oleh jawatankuasa terlibat.

“Selain itu pihak kami menanti kepulangan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim pulang dari menunaikan haji yang dijadualkan pada hujung bulan ini, jadi harap semua peminat bertenang,” demikian menurut sumber itu.

Semalam Nafuzi mengumumkan pengunduran sebagai ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan selepas hampir dua tahun membimbing skuad muda negara itu.

Pencapaian terbaik jurulatih kelahiran Kelantan itu sepanjang bersama skuad B-23 adalah meraih pingat gangsa pada temasya Sukan SEA Thailand 2025.

Jika perkara itu menjadi kenyataan, ia boleh dikatakan ‘bagaikan sirih pulang ke gagang’ kerana Nafuzi pernah membimbing TFC sebagai ketua jurulatih selama tiga tahun bermula pada tahun 2020 dengan membantu pasukan itu melangkah ke pentas final Piala FA, Piala Malaysia dan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia).

Pada masa sama sudah pasti sebahagian besar peminat setia skuad Penyu itu mahukan jurulatih muda itu membantu pasukan merealisasikan kejayaan selepas sekadar menghuni di tangga kelima Liga Super musim ini selain gagal mara lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia dan Piala FA.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top