mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin meluangkan masa melawat Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di sini, hari ini.
Ia bagi meninjau pelaksanaan fungsi, peranan serta kemajuan penyelidikan yang menyokong agenda kelestarian alam negara.
Lawatan juga bertujuan untuk melihat dengan lebih dekat pelbagai inisiatif penyelidikan, pemuliharaan biodiversiti, pengurusan sumber hutan secara mampan dan pembangunan inovasi berasaskan sumber asli yang diterajui oleh FRIM.
Sesi taklimat dan perbincangan diadakan bagi memperkukuh kerjasama strategik antara NRES dan FRIM dalam memperkasakan dasar serta program berkaitan kelestarian alam sekitar.
Anis turut menegaskan kepentingan penyelidikan dan inovasi sebagai pemacu utama dalam menyokong pembuatan dasar berasaskan bukti, selain memastikan pengurusan sumber asli negara terus kekal mampan demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang.
Turut sama dalam lawatan itu, Timbalan Setiausaha Bahagian Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan NRES Nadzmin Ahmad Nazir serta pegawai kementerian dan FRIM.
© New Straits Times Press (M) Bhd




