Guadalajara, Mexico: Jurulatih Korea Selatan, Hong Myung-bo meminta anak buahnya melupakan kekecewaan selepas tewas 0-1 kepada Mexico dan menumpukan sepenuh perhatian untuk mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia.
Kesilapan penjaga gol Kim Seung-gyu yang terlepas bola menghadiahkan jaringan tunggal kepada tuan rumah bersama itu dalam aksi yang hambar di Stadium Guadalajara, semalam.
Kemenangan tipis itu membolehkan Mexico muncul juara Kumpulan A dan mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati.
Korea Selatan bagaimanapun masih berada di landasan terbaik untuk mengikut jejak Mexico apabila menghuni tangga kedua selepas menang 2-1 ke atas Republik Czech dalam aksi pembukaan.
Mereka hanya memerlukan keputusan seri ketika menentang Afrika Selatan di Monterrey, Khamis ini, untuk melangkah ke pusingan 32 terbaik.
“Keputusan ini memang mengecewakan, tetapi secara keseluruhan pemain melaksanakan perancangan dengan baik.
“Memang mengecewakan apabila kami melepaskan gol seperti itu, namun pemain sudah memberikan segala-galanya,” kata Hong.
Menurutnya, pasukannya tidak perlu terus dibelenggu kekecewaan walaupun keputusan itu sukar diterima.
Selepas babak pertama yang membosankan, jaringan Luis Romo sejurus selepas rehat menjadi pemisah apabila Kim gagal menangkap kemas bola tinggi selepas bertembung dengan rakan sepasukannya sendiri.
Kesilapan itu membolehkan Romo mudah menolak bola ke gawang kosong.
Kim, 35, yang terlepas saat kelahiran anak sulungnya kerana memberi tumpuan kepada persiapan Piala Dunia, mengakui hilang fokus ketika insiden itu berlaku.
Malah, dia turut membayangkan berlaku salah faham komunikasi dengan pertahanan Lee Gi-hyuk ketika kedua-duanya bertembung.
“Panggilan saya mungkin tidak didengari dengan jelas dan terdapat beberapa faktor lain yang menyumbang kepada situasi itu,” katanya.
Korea Selatan dijangka menjadi pilihan untuk menewaskan Afrika Selatan yang tewas 0-2 kepada Mexico dan hanya mampu seri 1-1 dengan Republik Czech.
Walaupun lawan mereka berdepan masalah penggantungan pemain, Hong memberi amaran supaya anak buahnya tidak terlalu yakin.
“Saya sudah menonton kedua-dua perlawanan mereka dan mereka memiliki kelajuan yang baik. Kami perlu lebih tersusun untuk berdepan mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




