Sepanyol tagih magis Yamal

Sepanyol tagih magis Yamal

Atlanta: Sepanyol perlu mempamerkan ketajaman yang lebih tinggi di jentera serangan apabila berdepan Arab Saudi dalam aksi kedua Kumpulan H Piala Dunia 2026 selepas memulakan kempen dengan keputusan mengecewakan.

Juara Eropah itu sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang pendatang baharu kejohanan, Cape Verde, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kemampuan mereka untuk menepati status antara pasukan pilihan menjulang trofi.

Anak buah Luis de la Fuente akan kembali beraksi di Stadium Atlanta, Ahad ini, menentang Arab Saudi yang turut mengutip satu mata selepas seri 1-1 dengan Uruguay dalam perlawanan pembukaan.

Sebelum kejohanan bermula, Sepanyol dan Uruguay diramal menguasai dua kedudukan teratas kumpulan untuk layak secara automatik ke pusingan kalah mati, manakala Arab Saudi dan Cape Verde dianggap sekadar pencabar bagi slot pasukan tempat ketiga terbaik.

Bagaimanapun, senario itu berubah apabila keempat-empat pasukan kini berkongsi satu mata selepas aksi pertama.

De la Fuente dijangka mempertimbangkan untuk menurunkan pemain sayap muda sensasi, Lamine Yamal dalam kesebelasan utama bagi menambah kelajuan dan kreativiti di bahagian serangan.

Sebelum aksi menentang Cape Verde, pengendali itu memaklumkan penggunaan Yamal bergantung kepada situasi perlawanan memandangkan pemain berusia 18 tahun itu baru pulih daripada kecederaan.

Namun, kemasukannya pada 20 minit terakhir berjaya menghidupkan semula permainan Sepanyol walaupun gagal menghasilkan gol kemenangan.

Nico Williams turut memberikan impak positif selepas dimasukkan sebagai pemain gantian dan kedua-dua pemain berkenaan berpotensi memulakan perlawanan menentang Arab Saudi.

Gavi dan Ferran Torres yang gagal menyerlah ketika menentang Cape Verde dijangka menjadi mangsa rombakan.

Walaupun begitu, persoalan utama buat De la Fuente adalah sama ada untuk menurunkan Yamal sejak sepak mula atau terus menyimpannya sebagai senjata dari bangku simpanan kerana pemain itu masih belum bersedia beraksi selama 90 minit penuh.

Penyerang utama, Mikel Oyarzabal pula bergelut untuk memberikan ancaman apabila hampir tidak menyentuh bola dalam tempoh 30 minit pertama aksi menentang Cape Verde.

Meskipun Sepanyol menguasai sebahagian besar permainan dan penguasaan bola, mereka gagal menterjemahkannya kepada peluang berkualiti.

Yamal bagaimanapun tidak melihat keputusan seri itu sebagai sesuatu yang perlu dibesar-besarkan.

“Terdapat banyak reaksi mengenai keputusan seri, tetapi banyak pasukan lain juga seri dan ia tidak membawa sebarang makna.

“Bagi saya, menang 6-0 dalam perlawanan pertama juga tidak menjamin apa-apa kerana apa yang penting adalah memenangi perlawanan di pusingan kalah mati,” katanya.

Sementara itu, Arab Saudi hadir dengan keyakinan tinggi selepas berjaya mengikat Uruguay dan berhasrat meneruskan momentum positif berkenaan.

Pasukan kendalian Georgios Donis pernah mencipta kejutan apabila menewaskan Argentina pada aksi pembukaan Piala Dunia 2022 dan kini berpeluang sekali lagi mencabar pasukan pilihan.

Arab Saudi hanya pernah melepasi peringkat kumpulan sekali, iaitu pada Piala Dunia 1994 yang turut berlangsung di Amerika Syarikat.

Donis dijangka mengekalkan sebahagian besar kesebelasan utama yang berjaya mengutip satu mata berharga ketika menentang Uruguay.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top