Kerjasama pelbagai bidang strategik Malaysia-Turkmenistan

Kerjasama pelbagai bidang strategik Malaysia-Turkmenistan

PETALING JAYA: Malaysia dan Turkmenistan memperkukuh hubungan dua hala menerusi pertukaran beberapa dokumen penting yang mencerminkan kesepakatan kedua-dua negara.

Ia penting untuk membina kerjasama lebih tersusun demi kepentingan strategik serta manfaat jangka panjang kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menyaksikan pertukaran dokumen yang menjadi pemangkin kepada pengukuhan kerjasama strategik antara Malaysia dan Turkmenistan merentasi pelbagai bidang keutamaan negara.

Katanya, antara dokumen yang dimeterai ialah memorandum persefahaman (MoU) antara Akademi Sains Malaysia dan Akademi Sains Turkmenistan, MoU antara pihak berkuasa penerbangan Malaysia dan Turkmenistan serta MoU antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Turkmenistan mengenai latihan diplomat.

Turut dimeterai ialah Perjanjian Perkhidmatan Udara antara Malaysia dan Turkmenistan, pengumuman MoU antara Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan institusi pengajian tinggi Turkmenistan serta Kenyataan Bersama Malaysia-Turkmenistan.

“Kesemua dokumen ini mencerminkan kesepakatan Malaysia dan Turkmenistan untuk membina hubungan dua hala yang lebih tersusun, progresif dan saling melengkapi, berteraskan kepentingan strategik serta manfaat jangka panjang kepada rakyat.

“Dalam sidang media bersama, kami menegaskan iltizam bersama untuk memastikan setiap kerjasama yang telah dimeterai dilaksanakan secara berdisiplin, telus dan berkesan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau turut mendoakan agar hubungan persahabatan yang terjalin antara Malaysia dan Turkmenistan terus berkembang serta diperkukuh dengan kepercayaan yang mendalam dan semangat saling menghormati.

“Mendoakan agar hubungan persahabatan yang terjalin kukuh antara Malaysia dan Turkmenistan akan terus mekar, diperkasa dengan kepercayaan yang mendalam dan saling menghormati, insya-Allah,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top