Ouahabi tabik prestasi lebih baik Maghribi

Ouahabi tabik prestasi lebih baik Maghribi

Foxborough, Amerika Syarikat: Jurulatih Maghribi, Mohamed Ouahabi menyifatkan persembahan pasukannya ketika menewaskan Scotland 1-0 pada aksi Piala Dunia 2026 pagi tadi lebih baik berbanding ketika mengikat Brazil 1-1 minggu lalu.

Pandangan itu dibuat selepas Ismael Saibari menjaringkan gol terpantas kejohanan setakat ini selepas hanya 71 saat permainan sebelum Maghribi bertahan dengan cemerlang untuk meraih kemenangan yang membolehkan mereka mengumpul empat mata dalam Kumpulan C.

“Kami mengawal keseluruhan perlawanan dan dari segi keberkesanan, saya lihat prestasi ini sebenarnya lebih baik berbanding perlawanan pertama,” kata Ouahabi.

Pasukannya sebelum ini mencuri tumpuan apabila mengikat Brazil 1-1 pada aksi pembukaan di New York/New Jersey hujung minggu lalu.

“Saya melihatnya sebagai satu peningkatan berbanding perlawanan pertama. Jadi akhirnya kami gembira dengan keputusan ini. Kami mahukan tiga mata dan kami berjaya mendapatkannya. Itu objektif utama kami.

“Saya percaya kami mengawal permainan, tetapi apabila anda gagal menjaringkan gol kedua, sudah tentu kami perlu bertahan kerana Scotland bermain dengan sangat intensif menggunakan hantaran jauh.

“Namun saya tidak boleh lebih gembira daripada apa yang ditunjukkan oleh pasukan,” katanya.

Perlawanan itu bagaimanapun berlangsung dalam suasana kurang menyenangkan buat kapten Maghribi, Achraf Hakimi yang menerima ejekan penyokong setiap kali menyentuh bola beberapa jam selepas mahkamah rayuan Perancis mengesahkan dia akan dibicarakan dalam kes dakwaan rogol.

Hakimi yang kini beraksi bersama juara Eropah, Paris Saint-Germain menafikan tuduhan itu.

Ouahabi enggan mengulas panjang mengenai kemungkinan kes itu menjejaskan fokus pemain berusia 27 tahun berkenaan atau skuad Maghribi secara keseluruhan.

“Hakimi amat luar biasa. Dia mempamerkan satu permainan yang sangat mantap, jadi kami tenang dan dia sendiri juga amat tenang,” katanya.

Walaupun kini berada pada kedudukan baik untuk mara ke pusingan 32 terbaik, kedudukan Maghribi masih belum terjamin secara matematik.

Justeru, Ouahabi menegaskan beliau tidak bercadang merehatkan pemain utama ketika menentang Haiti pada aksi terakhir kumpulan di Atlanta minggu depan.

“Objektif kami adalah untuk memenangi perlawanan itu dan berharap dapat menamatkan saingan sebagai juara kumpulan.

“Jadi saya akan menurunkan pasukan terbaik yang mampu saya pilih berdasarkan tahap kecergasan fizikal pemain,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top