mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Bangunan yang menjadi tempat tinggal warga asing di sekitar Pasar Pudu digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan menahan 186 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Ops Kutip, di sini, tengah malam tadi.
Malah, ketika serbuan dijalankan ada warga asing yang cuba melarikan diri dan bersembunyi bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.
Bagaimanapun,, cubaan mereka gagal selepas berjaya dikejar pihak berkuasa sebelum ditahan.
JIM Kuala Lumpur berkata, operasi bermula pada 12.05 tengah malam itu membabitkan seramai 137 pegawai dan anggota daripada JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, JIM Putrajaya, JIM Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menurutnya, seramai 320 warga asing diperiksa sebelum 186 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
“Daripada jumlah yang ditahan, warga Bangladesh mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramaia 118 lelaki, diikuti warga Indonesia seramai 28 orang terdiri daripada tujuh lelaki dan 21 wanita.
“Turut ditahan adalah 26 warga Myanmar (13 lelaki dan 13 wanita), lima warga Vietnam (tiga lelaki dan dua wanita), empat warga Nepal, dua warga India, seorang warga Pakistan serta dua warga China terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita.
“Siasatan awal mendapati mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa dan Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah,” katanya.
Menurutnya, kesemua yang ditahan itu dibawa ke depot imigresen untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




