Barisan Nasional (BN) Johor tidak perlu bimbang mengenai calon ‘poster boy’ atau bakal Menteri Besar daripada Pakatan Harapan (PH) sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, pelantikan Menteri Besar akhirnya tertakluk kepada perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim, selaras dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor.
“Desakan dibuat Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hanyalah cubaan mencipta polemik politik dan persepsi, memandangkan pelantikan jawatan nombor satu negeri itu akhirnya tertakluk kepada Undang-Undang Tubuh Negeri Johor.
“PH termasuklah PKR mempunyai ramai calon pemimpin yang layak, berwibawa serta berintegriti untuk memikul amanah tersebut sekiranya diberikan mandat oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Artikel lain: Kukuhkan organisasi! Saifuddin Nasution, Dr Zaliha dilantik Naib Presiden PKR – Fahmi
Naib Presiden PKR itu turut menegaskan pemilihan seseorang sebagai ‘poster boy’ tidak semestinya menjamin individu berkenaan akan dilantik sebagai Menteri Besar.
“Rakyat Johor pasti masih ingat apabila UMNO dan BN menampilkan Datuk Seri Hasni Mohammad sebagai ‘poster boy’ ketika kempen, tetapi akhirnya yang dilantik sebagai Menteri Besar ialah Datuk Onn Hafiz sendiri.
“Justeru, tindakan beliau mendesak PH ketika ini menimbulkan tanda tanya sama ada beliau benar-benar bercakap tentang hak rakyat, atau sekadar cuba mencetuskan polemik.
“Fokus PH ketika ini adakan untuk turun padang bertemu seramai mungkin rakyat dan mendengar permasalahan mereka agar dapat merangka dasar dan polisi konkrit demi masa depan negeri,” katanya.

Sebelum ini, Datuk Onn Hafiz dilaporkan menggesa PH Johor menamakan calon Menteri Besar lebih awal bagi membolehkan rakyat menilai kepimpinan yang bakal ditawarkan sekiranya gabungan itu diberi mandat mentadbir negeri berkenaan.
Sumber: FB Dr Zaliha Mustafa




