Butterworth: Selepas lebih tiga dekad mewarnai dunia penyiaran dan kewartawanan, Datuk Suhaimi Sulaiman hari ini menerima penghormatan tertinggi dalam kerjayanya apabila menerima Anugerah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026, sekali gus mengiktiraf sumbangan besar beliau dalam membentuk landskap media Malaysia.
Bekas Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia itu menerima anugerah tersebut daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disaksikan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai pada Majlis Kemuncak HAWANA 2026 di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif Bernama merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Suhaimi berkata pengiktirafan itu bukan sekadar satu penghormatan, sebaliknya amanah besar yang mendorong beliau untuk terus menimba ilmu dan berkongsi pengalaman, terutamanya dalam era kecerdasan buatan (AI) yang mencorakkan semula penghasilan dan penyampaian maklumat.
“Pengiktirafan ini sangat besar untuk seorang yang masih dalam proses pembelajaran.
“Sebagai orang media, kita sentiasa belajar perkara baharu dan saya sendiri belum habis belajar terutama dalam era AI yang menuntut kita mempelajari pelbagai ilmu baharu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata pemilihan yang dibuat oleh rakan-rakan dalam industri media itu menjadi penghormatan yang sangat tinggi, sekali gus motivasi kepadanya untuk terus menabur bakti kepada industri media di negara ini.
“Saya berasa sangat terharu kerana rakan-rakan industri memilih saya. Apabila menerima anugerah atas kerja yang kita memang suka lakukan, perasaan itu sangat luar biasa.
“Walaupun sudah dimaklumkan lebih awal, saya tetap tersentuh. Malah, jika saya diberi kesempatan menyampaikan ucapan di pentas tadi, saya tentu akan menangis,” katanya.
Berkongsi pengalaman menerajui Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dan kemudian Kumpulan Media Sarawak (TVS), beliau berkata antara fokus utama yang diberikan perhatian ialah peralihan ke arah media digital.
Langkah itu, menurut beliau penting bagi memastikan platform penyiaran terus relevan dalam landskap media yang berubah dengan pantas.
“Kita tahu masyarakat kini tidak lagi menonton berita di televisyen atau mendengar radio seperti dahulu. Sebaliknya, mereka melihat berita yang lalu di FYP (For You Page) telefon bimbit menerusi aplikasi TikTok.
“Jadi, kita kena pandai mengikut ‘bahasa’ TikTok, selain memahami pengoptimuman enjin carian (SEO) dan algoritma,” katanya.
Berpengalaman lebih 35 tahun dalam industri media, Suhaimi memulakan kerjaya sebagai wartawan meja ekonomi TV3 pada 1990 sebelum muncul sebagai antara personaliti berita paling dikenali di Malaysia.
Sepanjang kerjayanya, beliau terlibat dalam penerbitan pelbagai program utama termasuk Buletin Utama, Nightline dan Malaysia Hari Ini (MHI) selain mengetuai liputan khas Pilihan Raya Umum serta Belanjawan Negara.
Beliau turut menjadi sebahagian daripada pasukan pengasas Astro AWANI sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarang saluran berita itu, selain diberi kepercayaan sebagai Pengerusi Bernama, Ketua Pegawai Eksekutif TVS dan Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia.
Di sebalik kejayaan yang diraih, Suhaimi juga dikenali sebagai mentor yang komited membimbing generasi baharu wartawan dan pemimpin media menerusi pelbagai program latihan kewartawanan serta komunikasi strategik termasuk pada peringkat ASEAN.
Anak kelahiran Melaka itu alumni Malay College Kuala Kangsar dan memiliki Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan dari City University, Washington, Amerika Syarikat.
Sepanjang kerjayanya, beliau menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Khas Juri MPI-PETRONAS bagi Kepimpinan dalam Kewartawanan pada 2019 dan CNN Journalism Fellow pada 2014.
Minat mendalam beliau dalam dunia penyiaran turut diterjemahkan menerusi buku bertajuk I Hate Reading the Teleprompter: My 25 Years in Broadcasting.
Pengiktirafan HAWANA tahun ini sekali gus menghargai sumbangan, kepimpinan serta legasi beliau dalam memartabatkan industri media negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




