Dua sepupu hilang sejak Khamis lepas keluar bersiar-siar di bandar Kota Bharu

Dua sepupu hilang sejak Khamis lepas keluar bersiar-siar di bandar Kota Bharu

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Dua sepupu remaja dari Kampung Baloh dekat Kok Lanas di sini dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah untuk bersiar-siar di bandar Kota Bharu pada petang Khamis.

Remaja yang hilang itu dikenali sebagai Nor Syahzanani Mohd Sulaiman, 15, dan Nur Kaseh Nalisya Mohd Ramzul Nazrie, 16.

Ibu Nur Kaseh, Hasnah Zakaria, 46, berkata anak perempuannya memaklumkan ingin keluar bersama sepupunya ke sebuah pusat beli-belah terkenal di Kota Bharu, jam 5 petang.

Hasnah berkata ketika itu dia sedang bersiap untuk membawa adik lelaki Nur Kaseh yang berusia 12 tahun ke sebuah klinik di Pasir Mas.

“Dia ada beritahau nak pergi ke pusat beli-belah itu bersama sepupunya, namun kedua-duanya tidak pulang ke rumah sehingga malam.

“Kami cuba hubungi mereka jam 9.30 malam, tetapi telefon mereka sudah tidak dapat dihubungi,” katanya yang bekerja sebagai pengusaha kantin sekolah ketika ditemjui di rumahnya hari ini.

Hasnah berkata anak kelima daripada tujuh beradik itu tidak pernah bermalam di luar tanpa pengetahuan keluarga.

“Kami sangat bimbang dan berharap pihak polis dapat mengesan mereka secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, ibu saudara Nor Syahzanani, Fatihah Zakaria, 53, berkata remaja itu yang anak bongsu daripada dua beradik keluar dari rumah selepas memberitahu ingin menyertai sesi fotografi bersama sepupunya.

“Dia meminta bantuan seorang rakannya untuk menempah perkhidmatan Grab sebelum ke pusat beli-belah berkenaan.

“Kali terakhir kami berhubung selepas jam 9 malam, dan mereka memberitahu dalam perjalanan pulang ke rumah,” katanya.

Beliau berkata, keluarga kedua-dua remaja itu kini sedang melakukan pencarian sendiri dengan mendapatkan bantuan saudara-mara, jiran dan rakan-rakan, selain membuat rayuan kepada orang ramai menerusi media sosial.

Fatihah berkata Hasnah dan bapa Nor Syahzanani, Mohd Sulaiman Zakaria, membuat laporan polis berasingan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu 10 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan remaja berkenaan.

Beliau berkata kes itu diklasifikasikan sebagai kes orang hilang dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top