am@hmetro.com.my
Seremban: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan cabaran utama yang dihadapi negara bukan berpunca daripada perbezaan kaum, sebaliknya disebabkan golongan yang menyalahgunakan kuasa.
Beliau berkata, rakyat daripada pelbagai latar belakang kaum dan etnik perlu terus memperkukuh perpaduan serta menolak usaha pihak tertentu yang cuba menanam kebencian dalam masyarakat.
“Saya tengok anak Melayu, anak Cina, anak India, anak Orang Asli, anak Dayak dan Kadazan, semua ada di sini untuk apa?
“Kenapa saudara-saudara mesti bergaduh? Mesti benci?
“Matlamatnya mesti betul, semua nak anak-anak di negara ini bersih dan mendapat pendidikan yang baik.
“Kepelbagaian kaum di Malaysia merangkumi masyarakat Melayu, Cina, India, Orang Asli, Iban, dan Kadazan adalah satu kekuatan mutlak.
“Masalah kita bukan isu kaum tapi salah guna kuasa.. apakah kita mahu ini diteruskan?” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pertubuhan Lima Generasi (PLG) Malaysia di sini, malam ini.
Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Pengasas PLG, Datuk Abdullah Ghani Kassim dan Ketua Pegawai Operasi (Direct Solutions) Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan hujah sesetengah pemimpin yang sering menggunakan sentimen perkauman untuk memecahbelahkan masyarakat.
Beliau berkata, rakyat pelbagai kaum sebenarnya mampu hidup harmoni, bekerjasama dan bangkit sebagai satu kekuatan besar sekiranya tidak dipengaruhi sentimen kebencian yang sengaja dicetuskan pihak tertentu.
“Kita mesti tunjukkan kita mempunyai kekuatan untuk membawa perubahan ke arah kebaikan.
“Perjuangan, usaha dan ikhtiar kita untuk masa depan anak-anak dan negara mesti diteruskan,” katanya.
Katanya, pemimpin juga perlu bersikap jujur dan ikhlas ketika diberikan amanah untuk menjaga dan memakmurkan negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




