SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat pelbagai kaum untuk mempertahankan semangat muafakat dan tidak membiarkan sentimen perkauman dimainkan pemimpin tertentu melemahkan kekuatan negara.
Beliau berkata, kepelbagaian kaum di Malaysia merupakan satu kekuatan mutlak sekiranya diikat dengan muafakat yang utuh.
“… dia (pemimpin) minta kita benci pada Cina, Cina benci India, India pada Melayu… jadi kita mesti bangkit, semua kena bangkit.
“Hari ini Melayu, Cina, India, Kadazan semua bermuafakat dan bekerjasama bangkit sebagai satu kekuatan,” kata beliau ketika berucap pada makan malam Himpunan Pertubuhan Lima Generasi (PLG) Malaysia di sini.
Lebih 1,000 ahli PLG hadir pada majlis itu. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Justeru, Anwar mahu rakyat khususnya golongan muda tampil melibatkan diri secara aktif dalam gerakan perubahan bagi membina masa depan Malaysia yang lebih baik berasaskan semangat muafakat dan perpaduan rakyat berbilang kaum.
Beliau berkata, meskipun Malaysia sedang giat mengejar kemajuan global seperti kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital, aspek nilai serta akhlak peribadi tetap menjadi keutamaan.
Sementara itu, Anwar yang baru menamatkan lawatan kerja ke Kazan dan Turkmenistan berkata, beliau berusaha menjamin masa depan negara, khususnya dalam aspek keselamatan bekalan minyak dan tenaga.
“Saya nak jaga negara demi masa depan. Saya bukan muda lagi, tetapi saya mahu tinggalkan negara yang selamat dan terjamin supaya anak-anak kita tidak terbeban dengan masalah ketiadaan minyak atau gas,” kata beliau.
Perdana Menteri mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan pada 17 dan 18 Jun sebelum ke Turkmenistan atas undangan Presiden Serdar Berdimuhamedov. – Bernama



