Hatrik Messi dibayangi bantahan Algeria

Hatrik Messi dibayangi bantahan Algeria

Buenos Aires: Kemenangan 3-0 Argentina ke atas Algeria dalam aksi pembukaan Piala Dunia 2026 dicemari kontroversi pengadilan sehingga Persatuan Bola Sepak Algeria (FAF) dilaporkan membuat aduan rasmi kepada FIFA.

Pada perlawanan itu, kapten Argentina, Lionel Messi menjaringkan hatrik untuk memastikan juara dunia itu bermula dengan langkah kanan.

Bagaimanapun, beberapa keputusan pengadil dari Poland, Szymon Marciniak mengundang rasa tidak puas hati kem Algeria.

Pemain tengah Liverpool, Alexis Mac Allister terlepas daripada menerima kad selepas melakukan terjahan ke atas Ibrahim Mazan, manakala Messi pula didakwa bernasib baik apabila tidak dibuang padang selepas mengasari pertahanan Algeria, Aissa Mandi.

Malah, bintang Inter Miami itu turut terlepas daripada sebarang kad amaran.

“Tiada gunanya mengulas situasi hipotesis, tetapi semua orang melihatnya termasuk saya,” kata pengendali Algeria, Vladimir Petkovic.

Menurut laporan The Athletic, FAF sudah mengemukakan bantahan rasmi kepada FIFA berhubung mutu pengadilan perlawanan itu.

Di sebalik kontroversi itu, Mac Allister dijangka terus memainkan peranan penting di bahagian tengah Argentina bersama Rodrigo De Paul dari Inter Miami dan pemain Chelsea, Enzo Fernandez.

Argentina yang turut diundi bersama Austria dan Jordan dalam Kumpulan D akan menentang Austria dalam aksi kedua.

Mac Allister mengakui kemenangan ke atas Algeria amat penting untuk meningkatkan keyakinan pasukan selepas pengalaman pahit memulakan kempen dengan kurang meyakinkan pada Piala Dunia sebelum ini.

“Kami tahu betapa pentingnya memulakan kejohanan dengan kemenangan untuk membina keyakinan. Kami berjaya melakukannya menentang lawan yang sangat bagus.

“Mungkin ada pihak memandang rendah Algeria, tetapi kami tidak pernah berfikiran begitu. Ada ketika kami terpaksa bertahan dan menderita, namun yang paling penting kami menang hasil aksi luar biasa Lio (Messi),” katanya kepada DAZN.

Mac Allister berkata tempoh sebelum kejohanan turut digunakan untuk memulihkan beberapa pemain yang mengalami kecederaan dan memperbaiki aspek permainan.

“Kami gembira berada di sini, menikmati saat ini dan berharap dapat mengharungi satu lagi Piala Dunia yang hebat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top