am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Kakak tiri Allahyarham Zara Qairina Mahathir antara saksi yang dijangka memberi keterangan dalam prosiding inkues yang bersambung esok.
Peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat berkata, kakak tiri Allahyarham dipanggil kerana gadis itu kini sudah dewasa.
Pada Selasa, pakar tulisan tangan Dr Linthini Gannetion dijangka memberi keterangan di hadapan koroner Amir Shah Amir Hassan.
Pada hari berikutnya, prosiding itu dijangka mendengar keterangan daripada Pakar Psikologi Kanak-Kanak Dr Aishah Rosli dan Pakar Psikiatri Dr Simon Wong.
Inkues itu memasuki hari ke-72 pada prosiding terakhir bulan lalu dengan bapa saudara sebelah ibu Zara Qairina, Abu Bakar dan isterinya, Nur Shira Abdullah serta sepupunya hadir memberi keterangan.
Perunding Psikiatri Forensik Dr Chua Sze Hung dan pegawai polis, Asisten Superintendan Mohd Zaidi Abu Hassan turut dipanggil semula memberi keterangan pada bulan lalu.
Penolong pegawai perubatan Mohd Faiszal Md Saimi yang juga responden pertama memeriksa remaja berusia 13 tahun ketika itu selepas didapati tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha pada 16 Julai tahun lalu, adalah antara saksi yang sudah memberi keterangan.
Sejak inkues bermula pada 3 September tahun lalu, lebih 70 saksi dipanggil memberi keterangan.
Dalam prosiding sebelum ini, Mahkamah Koroner juga diberitahu bahawa ibu bapa Zara Qairina dijangka memberi keterangan.
Media sebelum ini melaporkan Zara Qairina yang ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama SMKA Tun Datu Mustapha pada 16 Julai tahun laku dan disahkan meninggal dunia pada hari berikutnya di Hospital Queen Elizabeth, Sabah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




