lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelantikan warden dalam kalangan veteran tentera di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) tiada kaitan dengan drama Korea, sebaliknya cadangan itu sudah lama dibangkitkan oleh pelbagai pihak sejak 2023.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, idea berkenaan bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia dicetuskan hasil maklum balas ibu bapa, pelajar, bekas guru serta masyarakat yang prihatin terhadap isu buli dalam institusi pendidikan MARA.
Menurutnya, sejak diamanahkan sebagai Pengerusi MARA pada 2023, beliau menerima pelbagai aduan berkaitan kes buli menerusi media sosial selain hasil lawatan mengejut menerusi program #Terjah MRSM ke seluruh negara.
“Apabila saya mula melakukan siri lawatan mengejut ke MRSM dan institusi pendidikan MARA, saya dapati antara faktor yang menyumbang kepada berlakunya kes buli adalah keterbatasan tugas warden yang kebanyakannya dipikul guru sebagai tanggungjawab tambahan.
“Ramai pihak termasuk bekas guru dan netizen mencadangkan supaya MARA melantik warden sepenuh masa dalam kalangan bekas anggota beruniform khususnya tentera bagi membantu mengukuhkan disiplin dan sahsiah pelajar,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Asyraf Wajdi berkata, susulan cadangan itu, MARA melaksanakan projek rintis di dua MRSM yang sebelum ini sering dikaitkan dengan isu buli selain menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM).
Katanya, MARA turut mendapatkan khidmat penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menjalankan kajian bebas mengenai keberkesanan inisiatif berkenaan.
“Hasil laporan selepas enam bulan pelaksanaan projek rintis yang berakhir Februari lalu mendapati pelantikan warden sepenuh masa daripada kalangan bekas tentera memberi impak positif terhadap pembangunan sahsiah, disiplin dan kemenjadian pelajar.
“Berikutan dapatan itu, saya membawa cadangan berkenaan ke Mesyuarat Majlis MARA dan ia diluluskan untuk diperluaskan ke semua 58 MRSM di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata, kebetulan sebuah drama Korea yang memaparkan pendekatan hampir sama mula ditayangkan bulan lalu sehingga ramai pengguna media sosial mengaitkannya dengan langkah yang diambil MARA.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan warden bekas tentera di MRSM adalah hasil kajian, perbincangan serta tuntutan masyarakat yang sudah dibangkitkan sejak beberapa tahun lalu dan bukannya dipengaruhi mana-mana karya hiburan.
“MARA sentiasa mendengar suara hati masyarakat dan akan terus mencari pendekatan terbaik bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat, berdisiplin dan bebas daripada budaya buli demi masa depan anak bangsa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




