nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kehadiran tiga individu berlainan bangsa yang mendampingi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika pengebumian isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali semalam, menyentuh hati ramai pihak.
Gambar dan video ketiga-tiganya yang dikongsi meluas turut mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial, termasuk pertanyaan mengenai identiti sebenar mereka.
Membuka kisah di sebalik pertanyaan orang ramai, Felo Klinikal Kardiologi dan Pakar Perubatan Dalaman di Institut Jantung Negara (IJN), Dr Iskandar Mirza Amran, 40, berkata, beliau adalah salah seorang petugas perubatan yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga Dr Mahathir sepanjang urusan pengebumian Dr Siti Hasmah semalam.
Katanya, terdapat tujuh individu dalam pasukan di bawah IJN yang merawat serta memantau kesihatan Dr Mahathir dan isterinya yang diketuai Datuk Dr Amin Ariff Nuruddin bersama Datuk Dr Ahmad Khairuddin Mohamed Yusof, selain dibarisi Datuk Dr Ghazali Ahmad, Dr Hafidz Abd Hadi, Dr Hisham Md Sharom, Dr Afif Ashaari.
“Pada Ahad lalu, saya bertugas bagi syif 24 jam. Pada pagi semalam, kami dimaklumkan ada kod biru iaitu kecemasan membabitkan Dr Siti Hasmah.
“Saya antara individu yang dipanggil untuk melakukan bantuan pernafasan kecemasan atau Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) terhadap Dr Siti Hasmah sebelum beliau disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dr Iskandar berkata, beliau kemudian ditugaskan untuk bersama Dr Mahathir sepanjang urusan pengebumian memandangkan doktor lain dalam pasukan itu mempunyai prosedur penting yang lain.
“Saya lihat Dr Mahathir memang sedih. Beliau tidak banyak bercakap dan hanya menangis sepanjang masa.
“Saya ada bertanya keadaannya untuk periksa sama ada beliau ada mengalami sesak nafas atau sakit dada dan dimaklumkan Dr Mahathir tidak alami simptom berkenaan,” katanya.
Dr Iskandar juga menjelaskan dua lagi individu turut setia di sisi Dr Mahathir sepanjang pengebumian itu adalah jururawat wanita berbangsa India dan juruterapi berbangsa Cina.
Beliau juga tidak menyangka khidmat dicurahkan mereka untuk menjamin kesihatan Dr Mahathir akan diperkata dan menyentuh hati ramai pihak.
“Tidak dinafikan persepsi masyarakat terhadap doktor agak merosot kebelakangan ini atas pelbagai faktor. Namun, hantaran tular itu menukar persepsi orang ramai.
“Ramai pihak menghubungi saya mengucapkan terima kasih kerana menjaga Tun Mahathir. Saya rasa gembira apabila kehadiran kami mengubah persepsi negatif terhadap doktor.
“Apabila menerima ucapan terima kasih serta penghargaan daripada orang ramai, saya rasa penat lelah bertugas kira-kira 40 jam semalam amat berbaloi,” katanya.
Seluruh Malaysia berduka semalam selepas Dr Siti Hasmah meninggal dunia di IJN pada usia 100 tahun.
Beliau turut menerima penghormatan untuk disemadi menerusi Istiadat Pengebumian Negara di Pusara Negara, Putrajaya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




