Kesilapan Almiron memakan diri

Kesilapan Almiron memakan diri

Santa Clara, Amerika Syarikat: Tidak diketahui apa yang diucapkan Miguel Almiron kepada pemain Turkiye, Mert Muldur di sebalik tangan yang menutupi mulutnya, namun tindakan itu mungkin menjadi detik terakhirnya pada Piala Dunia kali ini.

Almiron melakar sejarah yang tidak diingini apabila muncul pemain pertama dibuang padang di Piala Dunia kerana melanggar peraturan baharu FIFA yang melarang pemain menutup mulut ketika berdepan lawan di tengah padang.

Kad merah yang diterimanya lewat babak pertama memaksa Paraguay beraksi dengan 10 pemain sepanjang separuh masa kedua ketika bertahan daripada asakan berterusan Turkiye.

Peraturan yang dicadangkan FIFA dan diluluskan Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB) pada April lalu diperkenalkan susulan kontroversi membabitkan pemain Benfica, Gianluca Prestianni yang didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap bintang Real Madrid, Vinicius Junior ketika aksi Liga Juara-Juara.

Prestianni menafikan dakwaan itu, namun Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) tetap mengenakan penggantungan enam perlawanan selepas mendapati tindakannya berunsur homofobik.

Dalam perlawanan tegang yang dipenuhi beberapa insiden panas, kad merah Almiron akhirnya dibayangi kemenangan mengejut 1-0 Paraguay ke atas Turkiye di kawasan Teluk San Francisco.

Keputusan itu menghidupkan semula peluang Paraguay untuk mara ke pusingan kalah mati sambil menyingkirkan Turkiye lebih awal daripada kejohanan.

Bagaimanapun, bekas pemain Newcastle United itu pasti terlepas aksi terakhir Kumpulan D menentang Australia pada 22 Jun susulan penggantungan.

Almiron memuat naik gambar sambutan kemenangan Paraguay di Instagram selepas perlawanan, namun tidak menyentuh langsung mengenai kad merah yang diterimanya.

“Saya mahu berterima kasih atas usaha rakan sepasukan hari ini yang memberikan segala-galanya dalam setiap perebutan bola. Terima kasih, terima kasih, terima kasih. Saya bangga menjadi sebahagian daripada skuad ini,” tulisnya.

Pemain pertahanan England, Dan Burn yang pernah beraksi bersama Almiron di Newcastle berkata tindakan itu mungkin sekadar tabiat lama pemain berkenaan.

“Saya mengenali Miggy secara peribadi dan saya rasa ia lebih kepada tabiatnya.

“Saya sudah banyak kali melihat dia melakukan perkara itu sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini dalam perlawanan dan saya fikir ia adalah sesuatu yang memerlukan masa untuk pemain menyesuaikan diri.

“Pengadil sudah menjelaskan perkara itu dalam taklimat sebelum Piala Dunia, jadi setiap orang tahu mengenai peraturan itu. Ia bukan sesuatu yang mengejutkan, tetapi memang sukar untuk menghilangkan tabiat itu dengan segera,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top