Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum untuk terus mempertahankan semangat muafakat dan menolak sebarang usaha yang cuba memecahbelahkan masyarakat melalui sentimen perkauman.
Semua kaum kena bangkit bermuafakat
Memetik laporan daripada Bernama, kepelbagaian kaum yang wujud di negara ini merupakan satu kelebihan besar yang perlu dipelihara kerana ia mampu menjadi sumber kekuatan negara sekiranya seluruh rakyat bersatu dan bekerjasama.
Ketika berucap pada majlis makan malam Himpunan Pertubuhan Lima Generasi (PLG) Malaysia, Anwar mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan pihak tertentu yang cuba menanam kebencian antara kaum demi kepentingan politik.
“… dia (pemimpin) minta kita benci pada Cina, Cina benci India, India pada Melayu… jadi kita mesti bangkit, semua kena bangkit.
“Hari ini Melayu, Cina, India, Kadazan semua bermuafakat dan bekerjasama bangkit sebagai satu kekuatan,” kata beliau ketika berucap pada makan malam Himpunan Pertubuhan Lima Generasi (PLG) Malaysia.
Foto: Pejabat Perdana Menteri
Golongan muda main peranan dalam perubahan negara
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menggesa golongan muda supaya memainkan peranan lebih aktif dalam gerakan perubahan negara dengan berlandaskan perpaduan dan semangat kebersamaan antara rakyat berbilang kaum.
Beliau menyatakan walaupun Malaysia kini sedang memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital, aspek nilai serta pembentukan akhlak masyarakat tidak boleh diketepikan.
Foto: Pejabat Perdana Menteri
Sementara itu, Anwar turut berkongsi mengenai lawatan kerjanya ke Kazan dan Turkmenistan yang antara lain bertujuan memastikan kepentingan negara terus terpelihara, khususnya dalam aspek keselamatan tenaga dan bekalan minyak untuk jangka panjang.
“Saya nak jaga negara demi masa depan. Saya bukan muda lagi, tetapi saya mahu tinggalkan negara yang selamat dan terjamin supaya anak-anak kita tidak terbeban dengan masalah ketiadaan minyak atau gas,” kata beliau.
Terdahulu, Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan pada 17 dan 18 Jun sebelum meneruskan lawatan rasmi ke Turkmenistan atas jemputan Presiden Serdar Berdimuhamedov.
Beliau menegaskan usaha memperkukuh hubungan antarabangsa dan menjamin keselamatan sumber tenaga negara adalah antara langkah penting bagi memastikan masa depan Malaysia kekal stabil serta terjamin untuk generasi akan datang.
Sumber: Bernama




