PETALING JAYA: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mempersoalkan tujuan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) yang dijadual berlangsung esok.
Beliau berkata, persoalan timbul sama ada mesyuarat itu diadakan untuk membuat keputusan, mengemukakan cadangan atau sekadar menyampaikan keputusan yang telah dibuat di luar MT PN.
“Jika begitu, apakah tujuan dipanggil Mesyuarat Tergempar MT PN pada 22 Jun 2026 ini? Untuk membuat keputusan atau cadangan? Atau hanya menyampaikan keputusan yang telah dibuat di luar mesyuarat MT PN?” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Tun Faisal, mesyuarat MT PN sepatutnya diadakan lebih awal selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan dan timbul kemungkinan DUN Negeri Sembilan turut dibubarkan.
Katanya, mesyuarat itu perlu disusuli dengan rundingan pembahagian kerusi dan persiapan pilihan raya sebelum Jawatankuasa electoral pact mengadakan perbincangan bersama parti bukan anggota PN.
“Barulah perjalanan Perikatan Nasional lebih teratur. Persoalannya, kenapa mesyuarat MT PN ini tidak dipanggil lebih awal, sedangkan banyak urusan berkaitan persiapan menghadapi pilihan raya perlu diuruskan?” soalnya.
Tun Faisal berkata, berdasarkan kenyataan seorang pemimpin Pas yang disiarkan media, parti itu didakwa tidak membuat keputusan dalam mesyuarat MT PN.
Katanya, perkara yang belum diselesaikan dalam mesyuarat berkenaan akan dibawa kembali kepada parti untuk dibincangkan sebelum keputusan dibentangkan semula dalam mesyuarat gabungan akan datang.
Beliau berkata, Pengerusi PN juga tidak boleh memuktamadkan keputusan kerana hanya memegang jawatan Naib Presiden dalam parti dan perlu merujuk Presiden serta Majlis Syura Ulama Pas.
“Cadangan ini kemudiannya akan diputuskan di mana? Kalau cadangan tidak menepati kehendak pihak tertentu, apakah tindakan selepas itu? Bolehkah dibuat kenyataan terbuka mempertikai dan mem’veto’ cadangan MT PN?,” katanya. – UTUSAN




